KUALA LUMPUR: Kerajaan masih perlu menampung kekurangan keperluan dana sebanyak RM17 bilion untuk melunaskan baki prinsipal dan faedah hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebanyak RM38.8 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2039, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata kerajaan telah membuat bayaran faedah dan pinjaman 1MDB sebanyak RM13.31 bilion melalui Dana Akaun Amanah kementerian tersebut.

"Pada masa ini dana akaun amanah yang masih berbaki sebanyak RM15.76 bilion tidak mencukupi untuk melunaskan kesemua prinsipal hutang 1MDB," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Tengku Zafrul berkata kerajaan akan menerima dana penyelesaian sebanyak RM515 juta daripada AmBank serta baki jaminan pemulihan aset oleh Goldman Sachs sebanyak US$954 juta.

"Ini bermakna kerajaan masih perlu menampung kekurangan keperluan dana sebanyak RM17 bilion bagi tujuan pelunasan baki prinsipal dan faedah hutang 1MDB sebanyak RM38.8 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2039," katanya.

Tengku Zafrul berkata dana awam pernah dan masih perlu digunakan untuk menanggung hutang 1MDB, sama ada dari segi bantuan langsung atau melalui dana pemulihan aset 1MDB.

"Berikutan masalah kewangan yang dihadapi 1MDB, kerajaan dari April 2017 hingga November 2021 telah menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman atau pendahuluan berjumlah lebih RM10 bilion melalui kementerian dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) bagi tujuan bayaran komitmen dan faedah hutang 1MDB," katanya.

Beliau berkata kerajaan akan terus memastikan hutang 1MDB dibayar pada waktu yang ditetapkan bagi mengelakkan berlaku keingkaran yang bakal memberi implikasi kepada ekonomi negara kerana hutang-hutang kerajaan dijamin oleh kerajaan melalui jaminan kerajaan dan surat sokongan.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan akan terus berusaha untuk mendapatkan semula dana berkaitan 1MDB yang telah diseleweng sama ada melalui tindakan undang-undang mahupun rundingan penyelesaian.

-- BERNAMA