KUALA LUMPUR : Kerajaan sedang mempertimbang untuk memberi bonus kepada penjawat awam sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ini kerana kerajaan telah meluluskan pemberian insentif khas RM2,000 seperti yang diumum sebelum ini.

Selain itu, kerajaan juga dalam penelitian pelarasan skim persaraan penjawat awam yang akan diumumkan dalam waktu terdekat.

"Kita baru sahaja meluluskan RM2,000 untuk penjawat awam, jadi kita pertimbangkanlah (bonus Aidilfitri). Dalam beberapa bulan ini kita akan meluluskan Skim Persaraan, menaikkan gaji... jadi kita kena lihat konteks itulah.

"(Soalan wartawan, ada berita gembira ke macam mana?) Berita gembira sebab sudah beri RM2,000 kemudian akan naik lagi dalam Skim Persaraan yang akan diumumkan.

"(Soalan wartawan, penjawat awam tak perlu harap apa-apa untuk bonus raya?) Penjawat awam lah yang dapat RM2000. (Soalan wartawan untuk raya) ... dan untuk persaraan ini juga naik lagi... jadi (ini) berita terlalu baik untuk penjawat awam," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media setelah mengadakan tinjauan suasana di bazar Ramadan Taman Kerang, Kuantan pada Sabtu.

Selain itu, mengulas mengenai isu pendaftaran Pangkalan Data Utama (PADU), Perdana Menteri berkata,  Menteri Ekonomi Rafizi Ramli diminta memberi penjelasan kepada jemaah menteri berhubung isu itu minggu depan.