Kerajaan pertimbang beri kelonggaran guru laksana hukuman rotan – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Jannatul Firdaus, Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Seruling, hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Kerajaan terbuka untuk memberi kelonggaran kepada guru melaksanakan hukuman rotan terhadap pelajar bermasalah, namun tertakluk kepada syarat dan garis panduan yang ketat.
Ringkasan AI
- Kerajaan pertimbang beri kelonggaran rotan kepada guru untuk mendisiplinkan pelajar bermasalah, tertakluk kepada syarat dan garis panduan ketat.
- Anwar tekankan rotan mesti berhemah, tidak mendatangkan kecederaan, dan hanya untuk kesalahan ringan, bukan sebagai hukuman keterlaluan.
- PM kritik penolakan rotan secara total, menyifatkan kelonggaran wajar diberi bagi membendung masalah disiplin seperti buli di sekolah.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan tindakan berkenaan harus dilaksanakan secara berhemah dan tidak mendatangkan kecederaan kepada pelajar.
“Janganlah sampai pukul, hempuk kepala sampai luka. Tapi, untuk para guru menegur dan merotan tangan (untuk kesalahan) hal-hal yang ringan sedikit,” katanya.
Beliau turut menegur pihak yang menolak sepenuhnya penggunaan rotan atas alasan hak asasi manusia, dengan menegaskan kelonggaran perlu diberi bagi membendung masalah disiplin di sekolah.
“Kadang-kadang golongan hak asasi liberal ini keterlaluan…tak boleh langsung (rotan) jadi apabila masalah (buli) ini timbul, kita kena bagilah sedikit kelonggaran dengan syarat-syarat yang ketat,” ujarnya lagi.
Pada 13 Oktober, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menegaskan pendiriannya untuk tidak menggunakan rotan sebagai alat mendidik murid, sebaliknya menekankan pendekatan pendidikan berasaskan nilai, adab dan pembangunan karakter.
Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad berkata, kementerian melihat keperluan untuk membentuk generasi beradab dan berakhlak tinggi melalui bimbingan serta teladan, bukannya melalui hukuman fizikal.
KPM menetapkan garis panduan pelaksanaan hukuman rotan di sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 7 Tahun 2003 dan Peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959.
Hukuman rotan hanya boleh dijalankan oleh Pengetua atau Guru Besar bagi kesalahan serius, dilakukan secara berhemah pada punggung atau tapak tangan dengan pakaian lengkap, dan ibu bapa perlu dimaklumkan serta dijemput untuk menyaksikan pelaksanaannya.
Setiap hukuman perlu direkodkan secara rasmi, dan ia tidak boleh menyebabkan kecederaan serius kepada pelajar. Selain itu, hukuman rotan terhadap murid perempuan adalah dilarang sepenuhnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami