KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mempertimbang membenarkan pergerakan rentas antara dua negeri zon hijau yang berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat beberapa perkara yang perlu diperincikan termasuk dari segi penguatkuasaan.

Jelasnya, perkara itu masih lagi dalam perbincangan antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Bagaimana dari segi pemantauan? Ia bukan satu perkara yang mudah.

"Contohnya apabila sampai ke sempadan masuk ke Melaka, kalau polis tanya dari mana, dia boleh kata dari Putrajaya, sedangkan dia dari Kuala Pilah.

"Perkara seperti ini yang sedang diperincikan kerana sukar untuk kita tentukan dengan jelas pergerakan setiap orang," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata masih belum ada sebarang ketetapan baharu berkenaan arahan bekerja dari rumah.

Ia selepas tiada sebarang arahan baharu dikeluarkan sama ada oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) atau Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman.

"InsyaAllah kita akan bincangkan dalam mesyuarat nanti sama ada terdapat keperluan untuk mengekalkan (arahan bekerja dari rumah) atau mereka (pekerja) boleh mula bekerja di pejabat," katanya.

[SIDANG MEDIA] Perintah Kawalan Pergerakan (PKPB/PKPP/PKPD) - 04 Mac 2021