Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 untuk semua penjawat awam di negeri itu.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bayaran bonus kepada 3,915 penjawat awam negeri itu akan dibuat Disember ini.

Beliau berkata, pemberian bonus yang akan melibatkan jumlah keseluruhan RM5.23 juta itu diharap dapat meningkatkan semangat penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka.

“Kerajaan negeri bersetuju dengan mengambil kira kenaikan harga barangan termasuk mintak petrol, minyak masak dan bahan subsidi yang lain, serta meluluskan bayaran bonus akhir tahun bersamaan dengan setengah bulan gaji atau minimum RM1,000.

“Adalah diharapkan dengan bayaran bonus ini, akan meningkatkan semangat penjawat awam dibawah pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memberi perkhidmatan lebih cemerlang lagi pada tahun akan datang,” katanya ketika membentangkan Bajet 2019 Negeri Pulau Pinang pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini.

Dalam masa sama, Kon Yeow berkata bonus RM300 juga akan diberikan kepada 1,590 penyelia dan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), 270 guru Sekolah Rendah Agama Rakyat, 182 Guru Sekolah Menengah Agama Rakyat, serta 572 guru dan staf Sekolah Persendirian Cina.

Manakala, 240 guru Tahfiz, guru Pondok dan guru Tadika Islam pula akan menerima RM200 setiap seorang.

Semua pembayaran yang melibatkan perbelanjaan tambahan sebanyak RM832,000 itu juga akan dibayar pada Disember ini.