MALAYSIA
Kerajaan Sabah bimbang penahanan Zizi Kirana dan Sul Aidil

Kerajaan Sabah hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap penahanan Zizi Kirana (kiri) dan Sul Aidil, dua anak Sabah yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah hari ini menyuarakan kebimbangan terhadap penahanan Zizi Kirana dan Sul Aidil, dua anak Sabah yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerajaan negeri amat prihatin dengan situasi itu, sambil menyifatkan penglibatan serta keberanian mereka dalam misi tersebut sebagai tindakan yang membanggakan rakyat Sabah dan Malaysia keseluruhannya.
"Kerajaan negeri yakin Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Menteri Luar Negeri (Datuk Seri Mohamad Hasan) akan mengambil langkah diplomatik terbaik bagi membantu pembebasan segera semua sukarelawan Malaysia yang ditahan.
"Doa kita mengiringi keselamatan dan pembebasan mereka yang berjuang atas nama kemanusiaan," katanya dalam kenyataan di laman Facebook di sini hari ini.Hajiji turut menyeru seluruh rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan politik untuk bersatu menunjukkan solidariti terhadap isu kemanusiaan ini.
Sehingga 7.50 pagi waktu Malaysia, seramai 17 rakyat Malaysia dilaporkan terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC) selepas kapal mereka dipintas.
Mereka termasuk Zizi Kirana yang menaiki kapal Huga, dan Sul Aidil yang berada di atas kapal Alma.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami