Ringkasan AI
- Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) merekodkan realisasi pelaburan RM116.4 juta setakat 30 September, menunjukkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Perlis.
- Pencapaian ini hasil kerjasama NCIA dengan Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Perlis dan MIDA, serta pelaksanaan projek strategik seperti CVIA dan PIP.
- Pembangunan infrastruktur logistik, ekosistem aeroangkasa dan zon agromakanan dijangka memperkukuh daya saing Perlis sebagai hab pelaburan masa hadapan di wilayah utara.
KANGAR: Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) merekodkan realisasi pelaburan berjumlah RM116.4 juta setakat 30 Sept lepas sekali gus mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi pembangunan ekonomi negeri Perlis.
Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Datuk Mohamad Haris Kader Sultan berkata realisasi pelaburan itu dapat dicapai melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Perlis serta Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).
Pencapaian itu mencerminkan keberkesanan strategi pembangunan jangka panjang yang dilaksanakan bagi memperkukuh daya saing Perlis sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi tinggi, katanya.
Mohamad Haris berkata NCER terus mempercepatkan transformasi ekonomi Perlis melalui pelaksanaan projek pemangkin strategik yang meletakkan negeri itu sebagai hab logistik, agromakanan dan industri masa hadapan di wilayah utara negara.
"Realisasi pelaburan yang dicatatkan pada tahun ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Perlis.
“Dengan ketersediaan projek strategik seperti Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) dan Zon Perdagangan Bebas Tuanku Syed Sirajuddin - Depot Pelepasan Pedalaman Perlis (PIP), NCER kini sedang memudah cara beberapa pelaburan berpotensi dalam sektor logistik, pembuatan bernilai tinggi, agromakanan dan teknologi baharu, yang dijangka memperkukuh pelaburan negeri pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Kenyataan itu susulan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Negeri Perlis yang dipengerusikan Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah pada Selasa.
Mohamad Haris berkata usaha pembangunan yang sedang dilaksanakan adalah selaras aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Pembangunan Strategik NCER (NCER SDP) 2026-2030, Perlis Maju 2030 dan agenda Ekonomi MADANI yang menumpukan pembangunan ekonomi bernilai tinggi, pengukuhan infrastruktur strategik, pembangunan bakat serta pertumbuhan yang inklusif dan mampan.
“Antara pemacu utama transformasi ekonomi negeri ialah pembangunan CVIA dan operasi PIP yang saling melengkapi dalam meningkatkan daya tarikan Perlis sebagai destinasi pelaburan strategik serta mempercepatkan kemasukan pelaburan baharu ke negeri ini,” katanya.
Beliau berkata Infrastruktur logistik yang lebih cekap dan keterhubungan perdagangan rentas sempadan yang dipertingkatkan turut menyokong keutamaan RMK13 untuk memperkukuh daya saing ekonomi wilayah dan rantaian bekalan serantau.
Dalam sektor pertumbuhan baharu, katanya pembangunan NCER Agribio Economic Zone (NAEZ) akan memperkukuh agenda sekuriti makanan negara melalui penggunaan teknologi moden dan pengeluaran bernilai tinggi manakala pembangunan ekosistem aeroangkasa dan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) dijangka menarik aktiviti penyelidikan, inovasi serta pelaburan berasaskan teknologi tinggi ke Perlis.
“NCER optimis bahawa kombinasi antara infrastruktur strategik yang semakin matang, projek-projek pemangkin yang sedang dilaksanakan serta pelaburan berpotensi yang sedang dimudah cara akan mempercepatkan transformasi ekonomi Perlis dan mengukuhkan kedudukannya sebagai hab logistik, agromakanan dan industri masa hadapan di wilayah utara,” katanya.
-- BERNAMA