Skip to main content

Malaysia

Jangan jadikan agama senjata politik - Mustapha

Mustapha berkata kepelbagaian agama, bangsa serta latar belakang budaya sekian lama menjadi tonggak utama yang menyatukan masyarakat majmuk di Sabah, dan bukannya dijadikan alasan untuk mencetuskan permusuhan. - Foto fail/BERNAMA
Mustapha berkata kepelbagaian agama, bangsa serta latar belakang budaya sekian lama menjadi tonggak utama yang menyatukan masyarakat majmuk di Sabah, dan bukannya dijadikan alasan untuk mencetuskan permusuhan. - Foto fail/BERNAMA

Ringkasan AI

  • Parti politik diingatkan agar tidak memperalat sentimen agama untuk mempertikaikan strategi lawan, menurut Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Datuk Mustapha Sakmud.
  • Mustapha kesal kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menyamakan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan watak “Dajal”.
  • Beliau menyeru rakyat Sabah menolak politik sempit yang mengeksploitasi agama dan terus mempertahankan keharmonian masyarakat majmuk di negeri itu.
Advertisement

KOTA KINABALU: Parti politik diingatkan agar tidak memperalat sentimen agama sebagai senjata bagi mempertikaikan strategi lawan susulan kenyataan mengaitkan instrumen demokrasi berparlimen dengan watak akhir zaman, kata Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Datuk Mustapha Sakmud.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu meluahkan rasa kesal terhadap kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang didakwa menyamakan pendekatan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan watak “Dajal”, sambil menegaskan label seumpama itu amat asing serta boleh mengelirukan umat Islam di Negeri Di Bawah Bayu.

"Apakah apabila hujah politik tidak lagi mencukupi, istilah akhir zaman pula perlu dijadikan senjata? CSA boleh dibahaskan secara rasional dalam kerangka demokrasi berparlimen tanpa perlu mengheret sentimen agama untuk memburukkan pihak yang berbeza pandangan," menurutnya dalam kenyataan pada Selasa.

Advertisement

Beliau berkata pendekatan CSA  juga pernah dilaksanakan ketika Pas berada dalam barisan Kerajaan Persekutuan sekali gus mempersoalkan kewajaran melabel instrumen itu secara negatif.

Mustapha berkata kepelbagaian agama, bangsa serta latar belakang budaya sekian lama menjadi tonggak utama yang menyatukan masyarakat majmuk di Sabah, dan bukannya dijadikan alasan untuk mencetuskan permusuhan.

Advertisement

"Bagi rakyat Sabah, budaya melabel sesama Muslim dengan gambaran seburuk itu hanya kerana berbeza pendirian politik amat janggal dan sukar diterima.

“Agama sepatutnya menyatukan, bukan memecah-belahkan, dan Sabah tidak perlu diajar tentang perpaduan oleh mereka yang masih gemar melabel sesama sendiri," katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus mempertahankan keharmonian sedia ada dan menolak sekeras-kerasnya amalan politik sempit yang mengeksploitasi agama demi kepentingan kuasa selain menekankan semua pihak wajar mencari titik kebersamaan dalam memelihara kesejahteraan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement