Ringkasan AI
- Thailand akan menaikkan kadar cukai eksais ke atas BEV dan REEV import kepada 35 peratus bermula 1 Januari 2027.
- Kabinet meluluskan kenaikan cukai ini daripada kadar semasa 10 peratus bagi BEV dan 15 peratus bagi REEV untuk melindungi pengeluar tempatan.
- Jabatan Eksais diarahkan mengadakan rundingan kadar cukai istimewa bagi pelabur baharu yang membuka atau mengembangkan operasi pembuatan di Thailand.
BANGKOK: Thailand akan menaikkan kadar cukai eksais ke atas kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kenderaan elektrik dengan pelanjut jarak (REEV) yang diimport kepada 35 peratus mulai 1 Jan 2027 sebagai usaha melindungi pengeluar tempatan dan memperkukuh industri automotif negara itu.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Ekniti Nitithanprapas berkata Kabinet dalam mesyuaratnya di Udon Thani pada Selasa meluluskan kenaikan itu daripada kadar semasa 10 peratus bagi BEV dan 15 peratus bagi REEV.
Ekniti berkata langkah itu bertujuan mengekalkan kedudukan Thailand sebagai hab pengeluaran dan eksport kenderaan serantau, di samping melindungi syarikat tempatan dalam rantaian bekalan automotif serta menjamin peluang pekerjaan.
"Walaupun syarikat asing dan tempatan telah melabur serta mengeluarkan kenderaan di Thailand, mereka masih belum menerima sokongan yang mencukupi dalam menghadapi perkembangan pesat di peringkat global. Import juga telah mewujudkan persaingan yang tidak seimbang.
"Oleh itu, kita perlu melindungi asas pembuatan domestik sambil menggalakkan pelaburan baharu," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Kabinet.
Ekniti berkata kerajaan turut mengarahkan Jabatan Eksais mengadakan rundingan mengenai kadar cukai istimewa bagi pelabur baharu yang membuka atau mengembangkan operasi pembuatan mereka di Thailand.
Beliau berkata Kabinet telah memberi kuasa kepada jabatan itu untuk menjalankan rundingan, dengan beberapa pelabur berpotensi sudah menyatakan minat untuk mengembangkan pangkalan pengeluaran mereka di negara itu bagi memanfaatkan insentif berkenaan.
Kenaikan cukai itu meliputi BEV yang menggunakan kuasa bateri sepenuhnya serta REEV yang menggabungkan bahan api dan tenaga elektrik daripada bateri boleh dicas semula, tetapi digerakkan sepenuhnya oleh motor elektrik.
-- BERNAMA