KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan menyambut baik titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahu semua pihak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan sebagai undang-undang utama negara.

Perdana Mentrei, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, titah Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama islam (MKI) itu kekal tegas mempertahankan semangat Perlembagaan negara dan pada masa sama menurunkan suhu hangat politik berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan itu.

Justeru belia meminta rakyat Malaysia supaya menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan itu. 

Katanya, selepas keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan baru-baru ini, banyak penghinaan dan cercaan yang dilemparkan kepada kerajaan dan juga hakim.

“Bagi masyarakat Melayu dan umat Islam, isu menjadi isu politik yang sangat hangat, hukum dijatuhkan, cerca mencerca, penghinaan kepada hakim dan kepada kerajaan serta sebagainya.

“Maka apa yang dititahkan oleh Sultan Selangor merujuk kepada keputusan Mahkamah Persekutuan, Malaysia ini negara hukum.

“Maknanya patuh kepada Perlembagaan dan jadi keputusan Mahkamah Persekutuan itu menurut Tuanku Sultan Selangor perlu dihormati kerana Mahkamah Persekutuan tunduk kepada hukum iaitu semangat Perlembagaan.

“Tidak timbul hendak meringan atau meremehkan Mahkamah Syariah. Saya dari pihak kerajaan tentu menyambut baik kenyataan Sultan Selangor selaku Pengerusi MKI yang dilantik Majlis Raja-Raja Melayu yang masih tegas mempertahankan semangat Perlembagaan negara.

“Kalau ada pun apa pun cadangan dan tindakan baharu, rujuk kepada jawatankuasa kerana kita telah lantik Tun Zaki Azmi, mantan Ketua Hakim Negara untuk mengkaji masalah-masalah yang dibangkitkan di negeri dan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Tahun Baru Cina 2024 anjuran Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di sini, pada Khamis.

Anwar mengulas kenyataan Sultan Sharafuddin yang bertitah agar semua pihak harus menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didukungi oleh rakyat Malaysia.

Baginda bertitah, dalam menangani isu yang berbangkit ini apa yang lebih penting ialah mencari jalan untuk mengatasi segala permasalahan yang timbul dengan mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Usaha-usaha ini termasuklah mengkaji sekiranya ada keperluan untuk mencadangkan pindaan kepada peruntukan tertentu Perlembagaan Persekutuan dan/atau undang-undang Persekutuan yang berkaitan.

Ia bagi memastikan kuasa Badan Perundangan Negeri menggubal undang-undang jenayah syariah termaktub secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa sebarang kekaburan.

Jumaat lalu, Mahkamah Persekutuan, dalam satu keputusan bersejarah, mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah tidak sah dan terbatal.

Keputusan terhadap petisyen dikemukakan peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman itu dibacakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.