Usaha pihak Astro Kasih menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir ketika bencana banjir yang berlaku pada bulan lalu mendapat penghargaan daripada kerajaan Sarawak.

Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg berkata, projek tanggungjawab sosial Astro Kasih Sarawak adalah program yang wajar diperluaskan dalam membantu rakyat ditimpa musibah.

Zohari juga turut memuji pihak Astro kerana sebagai badan koporat yang berjaya, mereka tidak lupa untuk berkongsi kesenangan dengan orang ramai dan turut menyeru kepada badan koporat yang lain untuk turut membantu.

“Bagi pihak kerajaan negeri kita mengucapkan terima kasih kepada Astro kerana melaksanakan program Astro Kasih di negeri Sarawak khasnya.

“Apabila kita mempunyai masalah, Astro Kasih dapat menghulurkan bantuan bersama, umpamanya baru-baru ini kita telah dilanda banjir dan Astro Kasih melalui Jabatan Keselamatan negeri telah mengagihkan bantuan di seluruh negeri Sarawak,” katanya selepas majlis penyerahan projek bantuan banjir Astro Kasih Sarawak di Dewan Merpati Jepang, Kuching.

Turut hadir adalah Pengarah Hal Ehwal Komuniti Astro, Datuk David Yap, Ketua Pegawai Eksekutif Astro Radio, Datuk Jake Abdullah, Pengarah Unit Keselamatan Sarawak, Datuk Haji Yusoff Nook dan Kolonel Pertahanan Awam Mohtar Samat Pengarah JPAM Sarawak.

Sementara itu, lebih daripada 25 tan barangan keperluan harian dikumpul oleh pihak astro bagi misi bantuan banjir di Sarawak menerusi projek tangunggjawab sosial Astro Kasih Sarawak.

Yap berkata, selain keperluan harian, mereka turut mengagihkan beg sekolah kepada kanak kanak sekolah yang sekolah mereka terlibat bencana banjir yang melanda bahagian Kuching dan daerah-daerah lain di Sarawak pada bulan lepas.

Untuk bahagian Serian , lapan sekolah telah terjejas akibat banjir di mana banyak beg sekolah telah rosak, manakala di Kuching pula, sebanyak 14 buah sekolah telah dikenalpasti.

Antara barangan yang dikumpul sepanjang tempoh seminggu berkenaan adalah beras, minyak masak, lampin pakai buang, susu tepung, air minuman, makanan tin, alatan pembersihan dan banyak lagi.