TEHRAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berlepas ke China untuk mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya, Wang Yi, ketika Beijing meningkatkan usaha diplomatik bagi membantu menamatkan konflik yang masih berlarutan di rantau itu.
Kementerian Luar China memaklumkan Araghchi akan mengadakan rundingan dengan Wang di Beijing, dalam lawatan kedua beliau ke negara itu sejak perang melibatkan Iran tercetus awal tahun ini.
China, yang mempunyai hubungan ekonomi dan diplomatik rapat dengan Iran, terus menggesa gencatan senjata serta penyelesaian melalui rundingan bagi meredakan ketegangan yang menjejaskan kestabilan Asia Barat dan pasaran tenaga global.
Lawatan itu berlangsung ketika Beijing berusaha menonjolkan dirinya sebagai pengantara yang mampu membantu merintis jalan ke arah perdamaian, selain menggalakkan penghormatan terhadap kedaulatan negara dan penyelesaian mengikut undang-undang antarabangsa.
Penganalisis menjangka perbincangan antara kedua-dua menteri luar akan menyentuh perkembangan terkini peperangan, keselamatan serantau, isu nuklear Iran serta situasi di Selat Hormuz yang kekal menjadi laluan penting perdagangan tenaga dunia.
Pertemuan itu juga diadakan hanya beberapa hari sebelum jangkaan pertemuan antara Presiden China, Xi Jinping, dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dengan konflik Iran dijangka menjadi antara agenda utama perbincangan kedua-dua pemimpin tersebut.