KUALA LUMPUR:Semua pihak perlu berganding bahu ketika kerajaan masih lagi berusaha sebaik mungkin dalam menangani masalah ekonomi yang melanda akibat pandemik COVID-19 ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dengan pebentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini masalah itu mungkin sedikit sebanyak mampu diperbaiki dalam memastikan keadaan industri-industri penyumbang kembali aktif.

Jelasnya, apa yang berlaku ketika ini bukan hanya dirasai oleh pemain industri negara malah ia sebenarnya menjejaskan pihak tersebut diperingkat global.

Namun, katanya kerajaan ketika ini meletakan kepentingan rakyat di hadapan di mana segala usaha sedang dilakukan ketika ini untuk memastikan rakyat kekal memiliki pekerjaan.

Mustapa mengakui, keadaan ketika ini menyaksikan banyak syarikat gulung tikar dan pekerja terpaksa diberhentikan kerja.

Daripada pembentangan Belanjawan 2021 yang lalu, beliau berharap situasi ini mampu diperbaiki walaupun mungkin ia bukanlah jaminan memandangkan beberapa sektor penting masih bergelut sejak dilanda pandemik COVID-19.

“Kita sendiri boleh melihat seperti industri pelancongan. Industri ini adalah sektor penting kepada negara yang menjadi penyumbang perniagaan yang besar untuk kita. Ada pemandu teksi, restoran, syarikat bas, industri penerbangan, tentunya industri ini ketika ini berada dalam keadaan teruk.

“Apa yang sedang kerajaan lakukan ketika ini ialah untuk mengimbangi keadaan ini. Kita perlu memastikan rakyat cukup sumber makanan, kita juga perlu memastikan dan melindungi pekerjaan mereka dan kita perlu bersedia untuk menhadapi cabaran ekonomi tahun depan,” katanya yang hadir pada Program Wacana Al-Quran: Global Crisis and Quranic Solutions anjuran Sinar Harian pada Jumaat.

Malah katanya tahun 2021 diharapkan untuk membuka lebih banyak ruang dan peluang ekonomi dan tidak lagi perlu berhadapan kekangan seperti mana sewaktu negara menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).