KUALA LUMPUR: Presiden Perancis Emmanuel Macron akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada 16 dan 17 Nov selepas lawatan negara ke Kemboja, menandakan lawatan pertamanya ke negara ini sejak 2017.
Lawatan itu dijangka membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Perancis, dengan kedua-dua negara bakal meningkatkan hubungan yang telah lama terjalin kepada perkongsian strategik, dengan tumpuan kepada pertahanan dan keselamatan, mineral kritikal, peralihan tenaga, aeronautik dan angkasa lepas, kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber serta semikonduktor.
Menurut Pejabat Presiden Perancis, kedua-dua negara akan memperkukuh kerjasama berdasarkan keutamaan bersama, di samping meningkatkan kerjasama dalam isu utama serantau dan antarabangsa serta hubungan antara Eropah dengan ASEAN.
Perancis menyifatkan Malaysia sebagai rakan kongsi utama negara itu dan Kesatuan Eropah (EU) dalam ASEAN, sambil menekankan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 serta komitmen bersama kedua-dua negara terhadap multilateralisme dan pematuhan undang-undang antarabangsa.
“Perancis dan Malaysia sama-sama komited terhadap multilateralisme dan pematuhan undang-undang antarabangsa, serta berusaha menyokong keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara dan Indo-Pasifik,” menurut Pejabat Presiden itu, sambil menekankan peranan tersendiri Perancis di rantau berkenaan menerusi wilayah luar negaranya.
Pejabat Presiden Perancis menyatakan perkara itu dalam maklumat latar belakang menjelang lawatan berkenaan yang dikongsikan Kedutaan Perancis di Malaysia dengan Bernama pada Jumaat.
Lawatan itu merupakan kesinambungan momentum yang terhasil daripada lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Perancis pada Julai 2025, iaitu lawatan pertama oleh seorang ketua kerajaan Malaysia dalam tempoh 15 tahun, dengan Pejabat Presiden Perancis menyifatkan lawatan Macron yang akan datang sebagai “langkah baharu” dalam hubungan dua hala.
Mengenai hubungan ekonomi, Pejabat Presiden Perancis memaklumkan bahawa Perancis merupakan rakan ekonomi ke-10 terbesar Malaysia dan menduduki tempat ketiga dalam kalangan negara EU, dengan perdagangan dua hala mencecah €4.7 bilion (kira-kira RM21.23 bilion) pada 2025, meningkat 11 peratus berbanding 2024.
“Kehadiran ekonomi Perancis adalah ketara, dengan kira-kira 300 anak syarikat firma Perancis dan 300 perniagaan milik Perancis yang ditubuhkan mengikut undang-undang tempatan, menggaji kira-kira 30,000 pekerja,” menurutnya, sambil menambah bahawa Perancis merupakan pelabur ke-12 terbesar di Malaysia dan pelabur kedua terbesar dari Eropah pada 2025.
Mengenai mineral kritikal, pejabat itu memaklumkan bahawa kerjasama antara kedua-dua negara semakin berkembang, didorong hasrat bersama untuk mempelbagaikan dan menjamin bekalan strategik menerusi pengukuhan ekosistem masing-masing di sepanjang rantaian nilai.
Ia merujuk kepada kerjasama industri antara syarikat Perancis, Carester, dengan firma Malaysia, Malaco Mining, yang dimeterai pada 2025 semasa lawatan Anwar ke Paris, bertujuan membangunkan keupayaan tempatan dalam perlombongan dan pengasingan unsur nadir bumi, di samping memenuhi piawaian alam sekitar dan sosial tertinggi.
Dalam sektor tenaga dan teknologi, Perancis memaklumkan bahawa kerjasama merangkumi peralihan tenaga, tenaga nuklear awam, bahan api penerbangan mampan dan projek pemerangkapan karbon, selain mengetengahkan kekuatan saling melengkapi kedua-dua negara dalam sektor semikonduktor.
“Keupayaan Malaysia dalam pembuatan dan pembungkusan semikonduktor yang saling melengkapi dengan kepakaran Perancis dalam penyelidikan, reka bentuk dan teknologi khusus membuka peluang kerjasama yang akan membantu mempelbagaikan serta memperkukuh daya tahan rantaian bekalan global dalam sektor utama ini,” menurutnya.
Sementara itu, lawatan Macron ke Kemboja dari 14 hingga 16 Nov akan memberikan tumpuan kepada usaha memperbaharui dan memperdalam hubungan dua hala, khususnya dalam bidang ekonomi, kebudayaan dan penjagaan kesihatan.
Lawatan itu turut merangkumi penyertaan beliau dalam Sidang Kemuncak Francophonie ke-20 di Phnom Penh pada 15 dan 16 Nov, yang menghimpunkan wakil daripada 90 negara dan kerajaan dengan tema “Melabur Semula dalam Keamanan demi Kemakmuran Bersama dan Kestabilan Mampan”.
Lawatan ke Kemboja itu juga akan menumpukan usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang infrastruktur, tenaga, penjagaan kesihatan, pengangkutan, pertanian dan pemeliharaan warisan, selain menegaskan semula hubungan lama antara kedua-dua negara yang bermula sejak Perjanjian Damai Paris 1991.
-- BERNAMA