Kerajaan sedia membuat kajian menaikkan had laju di laluan Klang-Teluk Intan di Sungai Besar, sekiranya ada permintaan daripada masyarakat di kawasan itu.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata kajian itu bertujuan melihat sama ada had laju 80 kilometer pada masa ini bersesuaian dengan kawasan berkenaan.

"Kita akan panggil semua pihak berkepentingan termasuk penduduk dan pemimpin masyarakat untuk kita membuat satu sesi percambahan minda untuk mendapatkan satu keputusan yang dapat diterima semua pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen keselamatan jalan raya dan majlis iftar di sini, pad Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan segelintir penduduk Sungai Besar yang merasakan had laju di kawasan itu terlalu rendah sehingga ada dalam kalangan mereka disaman kerana memandu melebihi had laju.

Dalam pada itu, Ab Aziz mengingatkan pengguna supaya lebih berhati-hati di jalan raya terutama menjelang musim perayaan ini.

Katanya kes kemalangan jalan raya begitu membimbangkan dengan sebanyak 18 kes kemalangan maut direkodkan setiap hari di negara ini.