PUTRAJAYA: Kerajaan bersedia meningkatkan pembiayaan sehingga RM2.25 bilion kepada Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi tempoh 2026 hingga 2030, tertakluk kepada prestasi agensi itu dalam memperkasakan pembangunan usahawan Bumiputera.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan mempertimbangkan pertambahan peruntukan sekiranya PUNB terus menunjukkan prestasi memberangsangkan dalam melaksanakan mandatnya, selain memperkukuh kerjasama dengan agensi pembangunan Bumiputera yang lain.
“Kalau mereka buat dengan baik, kita akan tingkatkan. Sekarang ini PUNB antara agensi yang melaksanakan dengan penumpuan yang jelas terhadap apa yang sudah kita gariskan, selain bekerjasama dengan semua agensi Bumiputera yang lain,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian SParK 2026: Transformasi Niaga, di sini, pada Sabtu.
Sementara itu, PUNB berkata sebagai sebahagian daripada hala tuju jangka panjang di bawah Kerangka Strategik R30, agensi itu menyasarkan kelulusan pembiayaan sehingga RM2.25 bilion bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Sasaran kelulusan pembiayaan itu, katanya, bertujuan mempercepat pertumbuhan syarikat Bumiputera, meningkatkan keupayaan skala komersial, mencipta peluang pekerjaan berkualiti, serta mengukuhkan rantaian bekalan utama negara.
"Sasaran tersebut akan digerakkan melalui kemudahan pembiayaan sedia ada PUNB seperti PROSPER GROW, PROSPER GREAT dan PROSPER IMPACT/NOVA, selain penambahbaikan program yang lebih bersasar mengikut keperluan sebenar usahawan," kata PUNB.
Selain itu, menurut PUNB, dalam usaha membantu usahawan mendepani cabaran kos operasi, keperluan modal kerja dan persaingan pasaran, PUNB turut menurunkan kadar pembiayaan PROSPER GROW kepada serendah 3.5 peratus setahun.
PUNB juga akan memperkenalkan tiga program khas baharu iaitu PROSPER GROW BIZ EXPRESS, PROSPER GROW FUEL UP dan PROSPER GROW AUTO BIZ bagi memudahkan akses pembiayaan, memperkukuh modal kerja serta menyokong sektor perniagaan yang mempunyai potensi pertumbuhan.