Skip to main content

Malaysia

Kerajaan sentiasa pantau ajaran sesat, umat Islam diseru rujuk pihak berautoriti

51768511075_DrZulkifliHasan.jpg
Zulkifli berkata, langkah pemantauan penting bagi mengelakkan umat Islam terperdaya dengan fahaman yang tidak sahih. - Bernama

TANJONG MALIM: Kerajaan memberikan jaminan bahawa pemantauan terhadap sebarang ajaran yang meragukan atau menyeleweng sentiasa dilaksanakan secara berterusan bagi memelihara kesucian agama Islam di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hassan berkata pihak berautoriti bersama-sama agensi berkaitan sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak penguat kuasa bagi memastikan sebarang penyebaran ajaran yang bercanggah dengan al-Quran dan sunah dapat ditangani segera.

Advertisement

“Langkah pemantauan itu penting bagi mengelakkan umat Islam terperdaya dengan fahaman yang tidak sahih, khususnya ketika umat Islam memberikan tumpuan kepada peningkatan amalan sepanjang Ramadan.

“Kita memang mempunyai pihak yang memantau secara rapat dan berterusan, malah semua ini dilakukan untuk memelihara keseluruhan aspek hal ehwal agama di negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Program Jom ke Sekolah 2026, Lawat Sekolah Agama KAFA dan Program Jamuan di Dewan Semai Bakti, Felda Sungai Behrang dekat sini, hari ini.

Zulkifli berkata pihaknya menyeru orang ramai supaya merujuk pihak berautoriti atau golongan berpengetahuan sekiranya terdapat sebarang perkara yang meragukan.

"Masyarakat juga memainkan peranan penting dengan menyalurkan maklumat atau laporan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti yang mencurigakan.

"Saya juga mengajak umat Islam agar menjadikan Ramadan sebagai medan memperkukuh ibadah, memperbanyak amalan kebajikan serta terus berpaksikan kepada ajaran al-Quran dan sunah," katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata lapan gerakan ajaran sesat dikesan masih wujud, namun tidak aktif dan berada di bawah pemantauan rapi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Beliau berkata lapan gerakan utama yang dikenal pasti ialah Hizbut Tahrir, Syiah, Wahabi, Milah Abraham, Si Hulk, GISBH, Qadiani dan The Ahmadi Religion of Place and Light.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video