MALAYSIA
Kerajaan seru pandangan awam berhubung cadangan penubuhan Tribunal Antibuli

Azalina berkata, langkah ini bertujuan memastikan suara rakyat diambil kira dalam usaha menangani isu buli secara menyeluruh dan berkesan. - Foto/Ikqwan Lee
PUTRAJAYA: Kerajaan menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk memberi pandangan, idea dan teguran berkenaan cadangan penubuhan Tribunal Antibuli, sebelum penggubalan rang undang-undang (RUU) berkaitan dimuktamadkan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, langkah ini bertujuan memastikan suara rakyat diambil kira dalam usaha menangani isu buli secara menyeluruh dan berkesan.
“Ramai yang memberi pandangan berhubung isu tanggungjawab, liabiliti, malah ada yang berkongsi pengalaman peribadi mereka. Itu sesuatu yang kita jangka.
"Buat masa ini, kita tak mahu beri sebarang reaksi kerana masih terlalu awal. Kita mahu dengar semua pandangan dan pertimbangkannya,” katanya pada sidang media selepas Sesi Dialog Awam Tribunal Antibuli Peringkat Wilayah Persekutuan, pada Khamis.Turut hadir dalam sesi dialog itu ialah Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Dalam majlis sama, beliau turut melancarkan Platform Pendapat Awam Mengenai Tribunal Antibuli yang dibuka sehingga hujung bulan ini.
Orang ramai boleh menyuarakan pendapat dan cadangan mereka melalui portal khas yang disediakan di petari.bheuu.gov.my.
“Kerajaan sudah ada dasar, tetapi kita juga mahu tahu pandangan masyarakat. Ramai di luar sana yang bijak pandai dan mempunyai pengalaman. Tak guna orang ramai marah-marah jika mereka tidak diberi peluang untuk memberikan kritikan atau cadangan membina,” tambah Azalina.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan menyasarkan pembentangan RUU Antibuli dalam sidang Parlimen Oktober hingga Disember tahun ini.
Dalam sesi pembentangan panel, Ketua Pesuruhjaya Kanak-Kanak, Dr Farah Nini Dusuki mendedahkan kes buli di sekolah rendah kerajaan meningkat lebih 79 peratus pada tahun lalu, iaitu 1,992 kes berbanding 1,110 kes pada tahun 2023.
Sementara itu, bagi sekolah menengah, sebanyak 5,689 kes dilaporkan pada tahun 2024 berbanding 5,418 kes pada tahun sebelumnya, menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami