Kerajaan setuju mulakan kerja awalan lima projek di Pahang - PM Anwar

Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan untuk memulakan kerja awalan bagi lima projek yang menjadi keutamaan di Pahang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUANTAN: Kerajaan Persekutuan bersetuju dengan cadangan untuk memulakan kerja awalan bagi lima projek yang menjadi keutamaan di Pahang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim umum kerja awalan lima projek keutamaan di Pahang akan dimulakan, termasuk jalan raya dan klinik kesihatan.
- Projek melibatkan infrastruktur penting seperti persimpangan bertingkat, penaiktarafan jalan, dan pembinaan klinik di Pos Lenjang.
- Mesyuarat turut bincang isu kemiskinan tegar dan Anwar seru kepimpinan negeri tingkatkan prestasi serta amalkan tadbir urus yang baik.
Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat semasa beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Pahang bersama Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan kerajaan negeri.
Turut hadir dalam mesyuarat itu Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
"Dalam mesyuarat itu, saya telah dibentangkan dengan pelbagai projek pembangunan dan perancangan jangka panjang melibatkan aspek infrastruktur asas seperti jalan raya, tebatan banjir, kesihatan, perkilangan, perumahan.
"Saya telah bersetuju dengan cadangan untuk memulakan kerja awalan bagi projek yang menjadi keutamaan di negeri Pahang," kata beliau dalam hantaran menerusi Facebook.
Anwar berkata beliau percaya melalui perancangan dan pelaksanaan projek dengan teliti, ia mampu membawa manfaat kepada warga Pahang serta limpahan pembangunan kepada negara.
Anwar berkata dalam mesyuarat itu, beliau turut memberi penekanan terutamanya kepada barisan kepemimpinan negeri untuk pantas meningkatkan prestasi serta perkemas prinsip 'good governance' agar negeri dan negara dapat terus dilonjak ke tahap lebih cemerlang dan bermakna.
Selain melihat kepada perancangan projek pembangunan, mesyuarat berkenaan kata beliau turut meneliti bilangan terkini warga miskin tegar di Pahang yang bakal dinoktahkan menjelang hujung bulan ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


