Skip to main content

Malaysia

Kerajaan setuju pemberian kuasa perundangan kepada Sarawak, perkukuh pelaksanaan MA63 - Fahmi

Fahmi berkata perintah berkenaan telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara dan seterusnya akan dipersembahkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. - Gambar fail/Bernama
Fahmi berkata perintah berkenaan telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara dan seterusnya akan dipersembahkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. - Gambar fail/Bernama

Ringkasan AI

  • Jemaah Menteri bersetuju menerima memorandum pindaan Perintah Negeri-Negeri Borneo 2026 bagi Sarawak untuk memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
  • Pindaan ini akan membolehkan penyerahan kuasa perundangan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sarawak, bermula dengan pengurusan buangan terjadual.
  • Langkah ini bertujuan mengelakkan pertindihan bidang kuasa dan memperkukuh hubungan Persekutuan dengan Negeri, selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jemaah Menteri hari ini bersetuju menerima memorandum berhubung Perintah Negeri-Negeri Borneo (Kuasa-Kuasa Perundangan) (Pindaan) 2026 bagi Sarawak sebagai langkah memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata memorandum dikemukakan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perintah berkenaan telah mendapat kelulusan Jabatan Peguam Negara dan seterusnya akan dipersembahkan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Advertisement

"Keputusan ini mencerminkan komitmen Perdana Menteri dan Kerajaan MADANI untuk terus memperkukuh pelaksanaan MA63, khususnya dalam memastikan pemberian kuasa perundangan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sarawak dapat dilaksanakan secara teratur dan berkesan selaras dengan Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan," katanya dalam kenyataan.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata penyempurnaan pindaan itu merupakan langkah penting sebelum penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) digantung di Sarawak bagi membolehkan fungsi pengurusan buangan terjadual diserahkan kepada kerajaan negeri berkenaan.

Advertisement

Katanya langkah itu juga bertujuan mengelakkan pertindihan bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sarawak.

Beliau berkata penyerahan kuasa perundangan Persekutuan dalam bidang alam sekitar kepada Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan secara berfasa, bermula dengan pengurusan buangan terjadual.

"Kerajaan MADANI terus komited memastikan agenda pelaksanaan MA63 diterjemah melalui tindakan dan keputusan konkrit demi memperkukuh hubungan Persekutuan dengan Negeri serta menjamin kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak," katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement