Skip to main content

Malaysia

Kerajaan setuju pertimbang peraturan ketat kekang lambakan barangan asing

Anwar dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri:"Di Sebalik Keputusan.." pada Rabu. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Anwar dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri:"Di Sebalik Keputusan.." pada Rabu. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju mengambil langkah bagi mengekang lambakan barangan murah menerusi platform e-dagang antarabangsa, khususnya dari China, dengan mempertimbangkan pengenalan peraturan yang lebih ketat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, persetujuan itu dicapai Jemaah Menteri susulan kesan lambakan produk asing terhadap ekonomi makro negara serta kelangsungan syarikat kecil tempatan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, langkah berkenaan tidak bertujuan menyekat sepenuhnya kemasukan barangan import kerana ia bertentangan dengan dasar perdagangan negara.

Advertisement

“Apa yang kita mahu itu pelaburan, perdagangan, bukan lambakan barang-barang yang murah, dan ini membunuh beberapa syarikat kecil di lapangan.

“Jadi kita sudah mengambil beberapa persetujuan dalam Jemaah Menteri untuk mengambil langkah-langkah mengekang sedikit, tidak menyekat sama sekali kerana ini bertentangan dengan sikap dasar kita untuk membolehkan import yang bertambah,” katanya dalam program Dialog Negara Khas Bersama Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri:"Di Sebalik Keputusan.." pada Rabu.

Advertisement

Dalam pada itu, Anwar turut membangkitkan kebimbangan mengenai aspek pemantauan produk yang ditawarkan menerusi platform e-dagang antarabangsa, khususnya berkaitan mutu barangan, penipuan, etika pengiklanan serta status halal.

Sehubungan itu, beliau berkata, kemasukan syarikat asing akan dibenarkan dengan syarat melibatkan kerjasama syarikat tempatan atau memberikan jaminan terhadap mutu dan aspek kesihatan produk, termasuk status halal sekiranya dinyatakan.

“Jadi sebab itu kita mula sekarang memberikan beberapa sekatan. Kita akan beri peluang mereka masuk dengan syarat ada syarikat-syarikat tempatan yang bersama ataupun dengan jaminan mutunya, kesihatannya dan juga kalau dia sebut halal, mesti harus dijamin halal,” katanya.

Menurut Anwar, isu berkenaan turut dibangkitkan kepada kepimpinan China dalam beberapa siri lawatannya ke negara itu.

Malah jelasnya, Presiden China, Xi Jinping turut menyatakan kesediaan untuk membuka ruang bagi meningkatkan eksport barangan Malaysia ke negara berkenaan.

Pada masa sama, Anwar turut mengingatkan rakyat agar tidak terpukau dengan tawaran iklan produk yang belum terjamin mutunya. 

"Ini teori lama, Babylon's conspicuous consumption, kadang-kadang dia yang tidak perlu pun dia hendak beli juga kerana iklan yang meluas," jelasnya.

Anwar berkata, kerajaan bertanggungjawab memantau pengiklanan, memastikan mutu barangan terjamin serta memperkukuh pendidikan pengguna supaya pembelian dibuat berdasarkan keperluan sebenar.

Beliau turut mengingatkan, perbelanjaan yang tidak sepadan dengan pendapatan boleh meningkatkan beban hutang pengguna.

“Kalau tidak, pendapatan dia kecil, barang yang dia beli itu banyak, jadi akan mengundang tanggungan hutang-hutang yang tinggi," ujarnya.

Must Watch Video

Advertisement