PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk menyeragamkan prosedur permohonan serta syarat teknikal bagi kerja pengubahsuaian kediaman dan premis komersial di seluruh negara.
Menurut kenyataan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), garis panduan berhubung perkara itu dipersetujui Mesyuarat Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) ke-87 pada hari ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Advertisement
"Garis panduan ini memberikan penjelasan kepada pemilik bangunan mengenai skop kerja yang dibenarkan tanpa menjejaskan aspek keselamatan struktur, pengudaraan semula jadi serta keharmonian perancangan bandar," menurut kenyataan itu.
Mesyuarat MNKT ialah medium penggubalan dasar dan perundangan berkenaan hal ehwal kerajaan tempatan antara Kerajaan Persekutuan dengan negeri.
Perkara-perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat ini akan dibawa untuk perhatian kerajaan negeri sebelum dilaksanakan secara rasmi pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara.
Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, barisan Exco Kerajaan Negeri, menteri-menteri Persekutuan yang berkaitan serta pegawai kanan kerajaan.
Menurut KPKT, mesyuarat itu turut mempersetujui perintah khidmat masyarakat bagi kesalahan membuang sampah kecil sebagai pendekatan pendidikan dan pembetulan tingkah laku kepada pesalah yang perlu dilaksanakan mengikut kesesuaian pada peringkat negeri dan Wilayah Persekutuan.
"Pelaksanaan khidmat masyarakat ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan tahap kebersihan bandar, malah menyemai rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan masyarakat untuk memelihara kebersihan persekitaran awam," menurut kenyataan itu.
KPKT memaklumkan Fadillah pada mesyuarat tersebut turut menegaskan bahawa penguatkuasaan perlu diperkukuh pada peringkat kerajaan tempatan bagi memastikan setiap dasar, peraturan serta garis panduan yang digubal dapat dilaksanakan secara lebih konsisten, berhikmah dan berkesan di lapangan.
-- BERNAMA