KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk mengangkat Kampung Baru sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pengiktirafan UNESCO akan menyebabkan sebarang cadangan pembangunan Kampung Baru tidak dapat diteruskan.

"Tambahan pula, pengiktirafan warisan mempunyai tiga peringkat bermula daripada tapak warisan, yang diberikan oleh Jabatan Warisan Negara, diikuti oleh warisan negara, yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan kemudian barulah warisan dunia, yang diberikan oleh UNESCO.

"Pengiktirafan warisan di ketiga-tiga peringkat ini mempunyai beberapa kriteria yang perlu dipenuhi dan sesetengahnya tidak dapat dipadankan dengan ciri-ciri semasa Kampung Baru," katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang minta menyatakan adakah kerajaan mempunyai cadangan untuk menjadikan Kampung Baru digazetkan sebagai tapak warisan UNESCO.

Menjawab lanjut, Dr Zaliha berkata, kerajaan juga akan berusaha mengangkat Kampung Baru sebagai Bandar Melayu yang tersergam megah dan hala tuju dasar untuk membangunkan semula akan dikekalkan selaras dengan pelan induk sedia ada.

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), tambah beliau akan memastikan hak dan kepentingan orang Melayu di Kampong Bharu terpelihara.

"Antara perkara yang menjadi panduan pembangunan Kampung Baru adalah nilai kebudayaan dan pemuliharaan warisan alam bina, perancangan inovatif dalam pembangunan tanah, pemuliharaan dan penjanaan semula kawasan bagi membentuk persekitaran berkualiti dan berdaya huni serta yang paling utama, menjaga kepentingan pemilikan orang Melayu," katanya lagi.