Kerajaan masih takut untuk mewujudkan sekolah satu aliran di negara ini dalam usaha melakukan transformasi pendidikan negara.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose bekata, cabaran pelbagai etnik, jurang pendapat dan pelbagai lagi bukan alasan untuk sekolah satu aliran tidak dilaksanakan.

"Walaupun kita (MPN) harap kita ada kekuatan politik untuk akhirnya kita mempunyai satu aliran sahaja, pada masa sama kita juga membenarkan pelajar untuk mengikuti bahasa ibunda masing-masing supaya tidak dilupakan.

"Pendidikan itu mesti satu aliran supaya proses meningkatkan kualiti pendidikan tercapai pada masa sama penyatupaduan masyarakat dapat kita capai hasil penggunaan sistem.

"Namun, pelaksanaan ini merupakan sesuatu yang kita (Kerajaan) tak berani dan belum berani buat," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Justeru, beliau berharap supaya ahli politik dan pembuat dasar memikirkan cara untuk melaksanakan sistem pendidikan satu aliran di negara ini.