Kerajaan tegas pastikan RMK13 dilaksana berimpak kepada rakyat - Akmal Nasrullah

Akmal berkata tahun 2026 merupakan tahun pertama pelaksanaan RMK13 dan kementerian bertanggungjawab memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada program serta memberi manfaat kepada rakyat. - Foto fail/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kerajaan komited memastikan setiap strategi dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) diterjemahkan kepada tindakan nyata yang tersusun serta memberi impak langsung kepada rakyat, bukan sekadar dirangka di atas kertas.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, tahun 2026 merupakan tahun pertama pelaksanaan RMK13 dan kementerian bertanggungjawab memastikan setiap dasar diterjemahkan kepada program sekali gus memberi manfaat kepada kumpulan sasaran.
“Fasa pelaksanaan ini akan menjadi penentu hala tuju ekonomi negara dalam mendepani landskap global yang semakin mencabar.
"Pada masa yang sama, ia memperkukuh usaha negara untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana melalui pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan yang lebih produktif, inovatif dan berdaya saing setara negara maju.
“Bagi memastikan pelaksanaan RMK13 berjalan mengikut perancangan antaranaya menaikkan siling, memperkukuh tadbir urus dan menaikkan lantai aspek penyelarasan serta pemantauan perlu diberi penekanan, termasuk pelaporan kemajuan yang telus dan tindakan pembetulan segera apabila diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Menteri Ekonomi dan Perhimpunan Bulanan Januari 2026 di Putrajaya pada Khamis.
Mengulas lanjut, Akmal turut menyeru semua warga Kementerian Ekonomi dan semua agensi untuk melaksanakan gerak kerja pelaksanaan dan pemantauan RMK13 secara sepenuh hati dan menyeluruh bagi memastikan objektif dan sasaran tercapai seperti yang dirancang.
Katanya, pemantauan gerak kerja RMK13 akan terus diperkukuh melalui Kerangka Pemantauan Rancangan Malaysia Lima Tahun.
Dalam pada itu, beliau berkata, pelaksanaan Forum Ekonomi Malaysia (FEM 2026) akan diteruskan dengan tema ‘Accelerating Growth, Advancing Malaysia’ pada 5 Februari depan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mengulas lanjut lagi, Kementerian Ekonomi juga sedang merancang pelbagai gerak kerja antaranya melibatkan pelaksanaan Persidangan KL20 pada 15 dan 16 Jun depan, Rangka Tindakan dan Kertas Putih Penuaan Kebangsaan, Junior Innovathon dan Innovathon versi baharu, pelaksanaan Pelan Komunikasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 serta pembangunan Pelan Induk Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Tambahnya lagi, satu permukiman membabitkan warga Kementerian Ekonomi juga akan diadakan pada hujung bulan ini bertujuan merangka strategi dan menyelaraskan gerak kerja serta membuat perincian bagi memastikan sasaran yang dilaksanakan mencapai objektif.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami

