Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan bahawa kerajaan telah memberi banyak subsidi tidak langsung dan tidak dinyatakan dalam pelbagai bidang yang sebaliknya tidak disedari oleh rakyat.

"Malah, ada terlalu banyak subsidi sedemikian dari segi penjagaan kesihatan, pendidikan tinggi dan tarif yang kerajaan tidak mendapat (sebarang) pujian pun," kata Perdana Menteri pada sesi taklimat media untuk pengarang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Ghani dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri yang akan membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat esok, turut memberi contoh kira-kira RM24 bilion telah disediakan untuk sektor penjagaan kesihatan biar pun kutipan bagi perkhidmatan itu adalah RM600 juta.

Selain itu, tarif elektrik negara ini juga adalah antara yang terendah di dunia disebabkan subsidi yang diberikan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, berkata rakyat sebenarnya mendapat habuan daripada pengurangan cukai korporat dan individu menerusi pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Mengulas cadangan pihak pembangkang dalam Bajet Alternatif untuk memperkenalkan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi menggantikan GST, beliau berkata GST sebaliknya dapat mengurangkan secara drastik jumlah individu dan syarikat yang mengelak cukai di bawah SST sebelum ini serta hasil aktiviti 'ekonomi gelap'.

Najib berkata, keberanian kerajaan untuk melaksanakan GST serta rasionalisasi subsidi juga telah membolehkan negara ini mendapat penarafan 'A-' dengan unjuran stabil oleh agensi-agensi penarafan yang bertindak menurunkan penarafan itu bagi negara-negara lain.

Ketika menjawab pertanyaan sejauh mana kekurangan cukai korporat di Singapura berbanding Malaysia, beliau berkata kos menjalankan perniagaan di republik itu jauh lebih tinggi dan menyebabkan banyak firma antarabangsa memindahkan operasi mereka ke Malaysia berikutan kos yang lebih rendah.

Mengulas Bajet 2018, Perdana Menteri berkata, pengiraan itu adalah berdasarkan unjuran purata harga minyak mentah US$50 setong berbanding US$45 bagi Bajet 2017 dan defisit fiskal berkurangan sedikit daripada 3.0 peratus yang diunjur untuk 2017.

Sambil menyifatkan isu kos sara hidup itu sengaja diperbesarkan, beliau berkata Bajet itu akan mengetengahkan banyak pendekatan untuk menangani isu berkenaan.

Bajet itu akan turut menyenaraikan produk serta inisiatif berkaitan Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang pada masa sama memaparkan aspirasi rakyat berdasarkan beberapa siri dialog yang diadakan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri mengingatkan, wujud kekangan terhadap apa yang boleh dilaksanakan kerajaan kerana setiap pendekatan itu perlu dipertimbangkan dengan sewajarnya.

"Tidak wujud perkara seperti 'habuan' percuma kerana semua perkara perlu diambil kira untuk menyokong langkah terbabit.

"Misalnya, jika anda mahukan pendidikan tinggi, anda perlu membayar dari segi cukai lebih tinggi. Semua negara yang menawarkan pendidikan tinggi secara percuma (pada masa sama) turut mengenakan kadar cukai yang tinggi iaitu 45-50 peratus. Oleh itu anda perlu membuat pilihan," katanya.

Najib turut membidas pembangkang yang disifatkan beliau sebagai menabur janji kosong dan tidak boleh ditunaikan atas alasan mahu menawarkan pendidikan percuma serta menyusun semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang mencecah RM40 bilion.

Mengulas pengurangan perbelanjaan pembangunan dalam peruntukan Bajet itu, beliau berkata kerajaan tidak boleh terus melaksanakan usaha merangsang ekonomi kerana perlu mengurangkan defisit.

Bagaimanapun, Bajet 2018 akan membabitkan usaha pengembangan secara sederhana dengan pelbagai program dalam tahap kemampuan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, transformasi kerajaan juga menyaksikan sektor swasta muncul sebagai pemacu pertumbuhan dengan menguasai dua pertiga daripada pelaburan berbanding sektor awam.

Najib berkata, antara buktinya termasuk kehadiran Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma di Malaysia pada 3 November ini bersempena majlis perasmian Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) yang menyediakan platform fizikal dan maya untuk kemudahan PKS memanfaatkan pertumbuhan ekonomi internet dan aktiviti e-Dagang rentas sempadan.

-- BERNAMA