Kerajaan akan meneliti isu kemiskinan secara lebih mikro berdasarkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, berdasarkan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi RMK11, wujud keperluan untuk mengkaji semula bukan sahaja Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), tetapi juga dalam pelbagai aspek lain.

“Kalau makanan berbeza, harganya lebih mahal, maka PGK lebih tinggi. Itulah perkara-perkara yang sedang kita teliti. Ini termasuk juga MPI. Jika kita lihat PGK, ia hanya melibatkan pendapatan.

“Kerajaan menerusi Kajian Separuh Penggal RMK11 telah menjelaskan tentang konsep MPI untuk membolehkan kita melihat kemiskinan ini bukan sahaja dari segi pendapatan, tetapi juga akses kepada pendidikan, kesihatan dan sebagainya, secara lebih menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini menjawab soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas-Kubang Kerian) yang ingin tahu tindakan kerajaan berhubung pendapat menyatakan PGK negara terlalu rendah.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah memberitahu Dewan Rakyat, kerajaan telah memulakan semakan semula PGK bagi memberi gambaran sebenar isu kemiskinan di Malaysia.

BACA: PBB sifatkan peratusan kemiskinan Malaysia tidak realistik

BACA: Kerajaan perlu kaji semula kadar kemiskinan, guna kaedah yang betul - Anwar

Dr Mahathir berkata kajian yang bermula pada Mac tahun ini turut akan mengambil kira Laporan ‘End of Mission Statements’ oleh Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Prof Philip Alston baru-baru ini.