KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti mekanisme untuk melaksanakan cukai terhadap perniagaan ekonomi digital yang mencatatkan keuntungan berbilion ringgit di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata mekanisme itu dipertimbangkan kerana terdapat banyak perniagaan dalam ekonomi digital didapati tidak membayar cukai meskipun mencatat keuntungan berbilion ringgit.

"Ini perlu kita Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bincang dengan Kementerian Kewangan.

"Kalau cukai itu dikutip, macam mana (mekanisme) supaya ia tidak membebankan. Ini satu tanggungjawab yang kita kena fikir dan usahakan," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mengenai penganjuran Esports Keluarga Malaysia International Challenge 2021 di Wisma TV Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zahidi berkata hasrat untuk mengenakan cukai tersebut perlu dimaklumkan supaya rakyat faham kerugian ditanggung kerajaan akibat tidak dapat mengutip hasil cukai berkenaan demi pendapatan negara.

Sementara itu, Zahidi berkata Esports Keluarga Malaysia International Challenge 2021 yang dianjurkan pada akhir Disember ini merupakan langkah menyediakan platform kepada anak muda untuk mempamerkan bakat mereka.

Beliau berkata program berkenaan turut bertujuan melihat potensi Malaysia sebagai hab industri kreatif menerusi penganjuran esports supaya dapat menjana pendapatan kepada negara.

Menurut Zahidi kejohanan terbahagi kepada dua kategori iaitu berusia 18 tahun ke atas dan 18 tahun ke bawah dengan memberi penekanan terhadap dua jenis permainan iaitu Mobile Legends dan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG).

"Kita menyediakan 128 slot pasukan untuk 15 persatuan esports setiap negeri ambil peluang dan akan menjemput pasukan dari Asia Tenggara (Singapura, Thailand dan Indonesia) untuk turut terlibat sama.

"Hadiah yang ditawarkan pula adalah sebanyak RM30,000 di tempat pertama, RM20,000 (kedua), RM10,000 (ketiga) dan RM5,000 untuk 10 saguhati," katanya.

-- BERNAMA