PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti penambahbaikan mesin pengimbas di lapangan terbang di seluruh negara sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan dan meningkatkan keberkesanan pemeriksaan bagasi, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, kerajaan sentiasa terbuka untuk meneroka penggunaan peralatan pemeriksaan terkini selaras dengan perkembangan teknologi, khususnya di pintu masuk utama negara.
Saifuddin Nasution berkata, mesin pengimbas sedia ada di lapangan terbang ketika ini sememangnya berfungsi dengan baik dan berkeupayaan tinggi dalam mengesan barang berbahaya dan sebagainya.
“Apakah ke depan nanti kita akan hanya statik dengan mesin yang sedia ada?. Tentunya tidak sebab di luar sana dalam sistem pemeriksaan pintu masuk lapangan terbang ini (ada) pelbagai peralatan yang jauh lebih canggih.
“Kita sentiasa terbuka jika terdapat idea untuk mengguna pakai segala jenis kelengkapan baharu,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelepasan Konvoi Jelajah Star City FC, di sini, hari ini.
Isu kawalan keselamatan lapangan terbang mendapat perhatian susulan beberapa kes membabitkan rakyat Malaysia kebelakangan ini, termasuk penahanan seorang juruterbang Malaysia selepas kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia, minggu lepas.
Saifuddin Nasution berkata, aspek pemeriksaan bagasi di lapangan terbang adalah di bawah tanggungjawab pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC), dan ia selaras dengan piawaian pemeriksaan lapangan terbang antarabangsa di bawah Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Sehubungan dengan itu, beliau berkata, penambahbaikan terhadap skop pemeriksaan bagasi juga diteliti bagi membolehkan barang terlarang termasuk dadah yang cuba diseludup dapat dikesan.
“Dari sudut skop pemeriksaan itu tumpuan (ketika ini) lebih kepada elemen persenjataan berbanding kontraban. Ini antara aspek penambahbaikan yang kami kena tumpukan sesuai dengan kepakaran pegawai yang memeriksa,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, beliau bersama agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan mesyuarat khas esok bagi meneliti pelaksanaan pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
“KDN dan juga MOT diminta untuk mengemukakan satu pelan komprehensif penambahbaikan bertujuan untuk mitigate (mengurangkan) kejadian yang berlaku dalam aspek operasi, peralatan dan manpower (tenaga kerja),” katanya.
Sebelum ini, Saifuddin Nasution berkata, Jemaah Menteri mengarahkan KDN dan Kementerian Pengangkutan (MOT) mengemukakan pelan komprehensif bagi menambah baik kawalan keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh dua minggu.
Beliau berkata, arahan itu susulan kebimbangan kerajaan terhadap insiden terbaharu yang dilihat boleh menjejaskan imej negara, selain menimbulkan persepsi bahawa wujud kelemahan dalam sistem kawalan keselamatan di premis berkenaan.
-- BERNAMA