KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti pelaksanaan dasar pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi peminjam terdahulu yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penelitian itu akan mengambil kira aspek keadilan kepada peminjam berkenaan, selain memastikan dasar pembiayaan pendidikan negara kekal mampan.
“Dari segi dasar PTPTN, kita akan semaknya secara berterusan kerana matlamat kita dalam PTPTN juga adalah untuk memastikan bantuan itu adalah secara bersasar dan hanya diberikan kepada mereka yang betul-betul memerlukan. Jadi sebahagian daripada pengecualian akan kita lihat dengan dasar itu juga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2027 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat hari ini.
Chong Chieng Jen (PH-Stampin) ketika mencelah membangkitkan kegusaran peminjam PTPTN yang membuat pinjaman pada 2025 atau sebelumnya, dengan mendakwa berlaku pelanggaran kontrak susulan perubahan syarat kelayakan bagi kategori berkenaan.
Chong berkata surat perjanjian pinjaman terdahulu secara jelas memperuntukkan pengecualian bayaran balik kepada peminjam yang berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.
Sehubungan dengan itu, beliau meminta kerajaan mengekalkan pengecualian berkenaan bagi peminjam sedia ada, sekurang-kurangnya bagi tempoh ini sebelum pengumuman dasar baharu dibuat.
Menyentuh kebajikan siswazah, Amir Hamzah berkata kerajaan menyediakan kemudahan penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam berpendapatan bulanan sehingga RM2,500.
Bagi peminjam yang memperoleh pendapatan antara RM2,501 hingga RM3,000 sebulan pula, bayaran balik minimum ditetapkan pada kadar RM50 sebulan bagi meringankan fasa awal memasuki alam pekerjaan.
Beliau berkata kerajaan turut menggalakkan disiplin bayaran balik menerusi diskaun 10 peratus kepada peminjam yang mengekalkan rekod bayaran teratur tanpa tunggakan, manakala majikan yang membantu melunaskan bayaran balik pinjaman pekerja turut layak menerima potongan cukai bermula 1 Jan 2027 hingga 31 Dis 2028.
Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah berkata kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) akan meneliti tatacara operasi syarikat pengendali insurans susulan aduan berhubung sekatan pemilihan doktor pakar oleh pemegang polisi hospital swasta.
Beliau berkata perkara itu akan dibincangkan bersama BNM bagi memastikan hak pengguna terpelihara, di samping mengawal peningkatan kos inflasi perubatan.
“Pengawasan industri insurans adalah di bawah BNM dan ini adalah satu inisiatif dengan Bank Negara akan melihat tatacara yang dibuat oleh pengendali insurans. Namun apa yang penting juga adalah memastikan semua pemain industri mematuhi peraturan yang baik supaya tidak meningkatkan kos inflasi perubatan yang akhirnya terpaksa dibayar oleh semua orang,” katanya.
Mengenai akses perlindungan kesihatan menyeluruh, Amir Hamzah berkata produk insurans dan takaful mampu milik, MediAsas, dijangka dilancarkan pada akhir Januari tahun depan, dengan kaedah pembayaran berasaskan diagnosis bagi mengawal kenaikan kos rawatan, selain membolehkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur bawah 55 tahun membayar premium menerusi Akaun Sejahtera.
Bagi menyokong kebajikan pekerja, beliau berkata kerajaan turut bersetuju memberikan subsidi premium tahun pertama sebanyak RM200 bagi setiap pekerja kepada majikan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mempunyai kurang 75 pekerja, dengan had maksimum 50 pekerja bagi setiap syarikat.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus dan pembangunan 2027 bagi Kementerian Kewangan berjumlah RM68,159,895,600 dalam Belanjawan 2027 dengan lebih suara bersetuju, selepas dibahas 27 Ahli Parlimen.
-- BERNAMA