Kerajaan menegaskan tidak akan berkompromi terhadap pihak yang melakukan penyelewengan terutama jika ia melibatkan wang rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata ekoran laporan polis yang dibuat oleh Lembaga Tabung Haji (TH) terhadap bekas pengurusan tertinggi TH, beliau yakin pihak berkuasa akan bertindak mengikut undang-undang.

"Sekiranya pihak terbabit didapati bersalah, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap TH," katanya.

Semalam, Lembaga Tabung Haji (TH) telah membuat dua laporan polis terhadap bekas pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, dua bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail dan Datuk Seri Johan Abdullah serta Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan Abdul Ghani; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-Undang, Hazlina Mohd Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md Ariff.

Laporan pertama berhubung Program Yayasan Tabung Haji (YTH) 2017 apabila dana berjumlah RM22 juta disalurkan untuk aktiviti yang didakwa mempunyai kecenderungan politik.

Manakala, satu lagi laporan dibuat kerana menyembunyikan maklumat penting dan salah nyata membabitkan penjualan saham TH pada 2012 sebanyak 95 peratus dalam PT TH Indo Plantations yang dipegang oleh dua anak syarikatnya iaitu TH Indopalms Sdn Bhd (THI) dan TH Indo Industries Sdn Bhd (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) dengan harga US$910 juta (RM3.7 bilion).

-- BERNAMA