PUTRAJAYA: Kerajaan tidak pernah lepas tangan atau meminggirkan institusi pendidikan Islam ketika negara dilanda wabak COVID-19, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Namun, beliau juga tidak menafikan terdapat beberapa institusi pendidikan Islam yang menghadapi kesulitan untuk meneruskan operasi antaranya disebabkan mengalami kekangan kos pengurusan.

Menurutnya, sejak awal tahun hingga Ogos ini, kerajaan melalui Jakim telah menyalurkan bantuan berjumlah RM60 juta kepada 1,066 institusi di seluruh negara manakala RM244,400 disumbangan melalui Tabung Musaadah COVID-19 Jakim-Yayasan Waqaf Malaysia.

"Jakim pada ketika ini sedang berusaha dengan pelbagai cara bagi membantu institusi pendidikan Islam agar dapat melangsungkan operasinya demi anak bangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan dakwaan kononnya kerajaan meminggirkan institusi pendidikan Islam seperti pondok, tahfiz dan sekolah agama di bawah penyelarasan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pendidikan dan Pelajaran Agama Islam (LEPAI) sepanjang tempoh pandemik COVID-19.

Pada 1 Okt lepas, Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran (Pinta) Pahang Muhammad Abdul Salam Abdul Ghani berkata 30 peratus daripada 160 Maahad Tahfiz swasta di Pahang bakal ditutup kerana tidak mampu menampung kos operasi akibat COVID-19, dan jumlah itu dijangka bertambah sekiranya wabak itu berlarutan bagi tempoh yang lama.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz berkata sejak berlakunya penularan COVID-19, kerajaan melalui Jakim sentiasa bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan bagi memastikan keselamatan warga institusi pendidikan Islam terjamin.

Katanya kerajaan telah mengambil langkah segera dengan melaksanakan saringan bagi mengesan dan menyekat penularan COVID-19 dalam kalangan warga institusi pendidikan Islam.

Kerajaan juga mengambil tanggungjawab menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi memudahkan rujukan dan panduan oleh institusi yang dijangkiti COVID-19, katanya.

Melalui bantuan Kementerian Pelajaran (KPM), katanya Jakim telah menerbitkan Garis Panduan Pengurusan Pengoperasian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain dan Sekolah Agama Dalam Norma Baharu sebagai rujukan kepada institusi pendidikan Islam untuk beroperasi.

-- BERNAMA