Skip to main content

Dunia

Piala Dunia 2026: Jerman bermula garang, belasah Curacao 7-1 dalam aksi pembukaan

Soccer Football - FIFA World Cup 2026 - Group E - Germany v Curacao - Houston Stadium, Houston, Texas, U.S. - June 14, 2026 Germany's Deniz Undav celebrates scoring their sixth goal with teammates REUTERS/Annegret Hilse
Jerman memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan penuh bergaya apabila membelasah pendatang baharu, Curacao, 7-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan E di sini, awal pagi tadi. - Gambar Reuters

HOUSTON: Juara dunia empat kali, Jerman memulakan kempen Piala Dunia 2026 dengan penuh bergaya apabila membelasah pendatang baharu, Curacao, 7-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan E di sini, awal pagi tadi.

Skuad Die Mannschaft tampil dominan sejak wisel permulaan dan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila Felix Nmecha meledak gol terpantas kejohanan setakat ini pada minit keenam, hasil gerakan satu-dua kemas bersama Florian Wirtz.

Curacao yang membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia bagaimanapun tidak mudah mengalah apabila Livano Comenencia mencipta sejarah sebagai penjaring pertama negara itu di kejohanan berprestij tersebut menerusi gol penyamaan.

Namun, kegembiraan pasukan Caribbean itu hanya bertahan seketika apabila Nico Schlotterbeck kembali meletakkan Jerman di depan menerusi tandukan padu hasil sepakan sudut.

Jerman terus memperkukuh kedudukan menjelang rehat apabila Nmecha dijatuhkan dalam kotak penalti, sebelum Kai Havertz dengan tenang menyempurnakan sepakan tersebut pada masa kecederaan babak pertama.

Bersambung babak kedua, Jerman terus menguasai permainan dengan Jamal Musiala menambah jaringan selepas memperdaya pertahanan lawan.

Pertahanan muda, Nathaniel Brown, kemudian menceriakan penampilan sulungnya di Piala Dunia dengan satu gol, sebelum Deniz Undav dan Havertz melengkapkan kemenangan besar Jerman.

Kemenangan itu memberikan permulaan sempurna buat Jerman dalam misi memburu gelaran dunia kelima, manakala Curacao terpaksa menerima hakikat pahit dalam penampilan pertama mereka di pentas terbesar bola sepak dunia.

Must Watch Video

Advertisement