SEOUL: Korea Selatan dan Arab Saudi menandatangani perjanjian kerjasama dalam industri sumber tenaga, termasuk minyak mentah dan gas asli, ketika ketidakstabilan rantaian bekalan global berterusan, menurut kementerian industri pada Ahad, lapor Agensi Berita Yonhap.
Menteri Perindustrian, Kim Jung-kwan memeterai memorandum persefahaman (MOU) dengan Menteri Tenaga Saudi Abdulaziz bin Salman untuk mewujudkan rangka kerja kerjasama jangka panjang dalam pembekalan sumber tenaga utama semasa lawatan dua harinya ke negara Asia Barat itu, yang bermula Sabtu.
Kementerian Perdagangan, Perindustrian dan Tenaga memaklumkan, perjanjian menggariskan pelbagai bidang untuk kerjasama, termasuk simpanan minyak mentah, pembangunan infrastruktur saluran paip minyak, serta penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital untuk memacu inovasi dalam industri tenaga.
Kim turut bertemu Menteri Pelaburan Saudi, Fahad Al-Saif dan Menteri Industri dan Sumber Mineral, Bandar Al-Khorayef, bagi menilai kemajuan projek syarikat Korea Selatan di negara Asia Barat itu.
"Di tengah-tengah ketidakstabilan yang berlarutan dalam rantaian bekalan global, kami telah memperoleh bekalan sumber utama yang stabil, seperti minyak mentah dan nafta, dan mewujudkan asas untuk kerjasama jangka panjang dalam sektor tenaga dengan Arab Saudi," kata Kim dalam satu kenyataan.
Kim merancang untuk melawat Qatar pada Isnin dan Emiriah Arab Bersatu pada Selasa.
-- BERNAMA-YONHAP