LOS ANGELES/TIJUANA: Skuad bola sepak Iran selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles pada Ahad selepas penerbangan singkat dari Tijuana, Mexico, menjelang aksi pembukaan Piala Dunia menentang New Zealand.
Pasukan itu sebelum ini meninggalkan kem latihan mereka di Mexico dengan sorakan meriah penyokong yang memberikan penghantaran penuh semangat menjelang perlawanan sulung Kumpulan G.
Pesawat A320 yang membawa skuad Iran mendarat di landasan 25L pada jam 4.11 petang waktu tempatan dalam keadaan cuaca cerah, selepas percubaan pendaratan kedua.
Lapangan terbang tersebut terletak kira-kira 15 minit dari Stadium Los Angeles, lokasi perlawanan pembukaan mereka.
Sebaik tiba, pasukan dijangka menuju ke hotel penginapan yang telah dikawal ketat polis sebagai langkah keselamatan.
Ketua jurulatih, Amir Ghalenoei bersama penyerang utama Mehdi Taremi dijadual mengadakan sidang media di Stadium Los Angeles pada jam 6.45 petang waktu tempatan.
Perlawanan Iran menentang New Zealand bakal berlangsung dalam suasana tegang susulan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Iran, sekali gus menambah tekanan ke atas pertembungan yang menyaksikan kedua-dua pasukan belum pernah bertemu di pentas Piala Dunia.
Iran sebelum ini memindahkan kem latihan Piala Dunia mereka dari Arizona ke Mexico hujung bulan lalu susulan serangan bersama Amerika Syarikat dan Israel ke atas negara itu yang bermula sejak Februari.
Terdahulu di Tijuana, ratusan penyokong membanjiri laluan di hadapan hotel penginapan pasukan Iran bagi memberi sokongan.
Sorakan “Team Melli” bergema ketika pemain keluar dari hotel menuju ke bas pasukan, dengan ramai penyokong melambai serta merakam detik tersebut menggunakan telefon masing-masing.
Salah seorang penyokong memegang sepanduk bertulis “Iran, you will never walk alone. Mexico stands with you,” sebagai tanda sokongan kepada skuad berkenaan.
Seorang kanak-kanak pula kelihatan memegang album pelekat rasmi Piala Dunia 2026 yang dibuka pada halaman pasukan Iran.
Pada satu ketika, penyokong turut menyanyikan lagu dalam bahasa Sepanyol yang berbunyi “Iran, saudara, kini anda orang Mexico.”
Komuniti Iran di Tijuana dianggarkan kecil berbanding di Los Angeles yang menempatkan populasi terbesar warga Iran di luar negara itu.
Kejohanan kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila buat pertama kali sejak diperkenalkan pada 1930, sebuah negara tuan rumah menerima penyertaan negara yang sedang berkonflik dengannya.
Situasi itu menjadikan kempen Iran di Piala Dunia 2026 bukan sekadar pertembungan bola sepak, tetapi turut dibayangi ketegangan geopolitik yang mencuri tumpuan dunia. - Agensi