Kerajaan telah menubuhkan pasukan operasi khas nasional (NSOF) bagi menghadapi sebarang ancaman keganasan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ini membuktikan kerajaan tidak alpa dan sentiasa memandang serius isu ini.

Jelas beliau, pasukan ini dianggotai 17 pegawai dan 170 anggota daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Mereka telah berlatih dan akan ditempatkan di lokasi supaya mereka boleh digerak pada bila-bila masa dan mereka berasa serasi antara satu sama lain kerana mereka tinggal dan berlatih di tempat yang sama,” kata Datuk Seri Najib pada sidang media selepas melancarkan pasukan NSOF di Kem Sungai Besi, di sini hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya, Datuk Seri Najib berkata kerajaan memandang serius insiden keganasan global terutama yang melibatkan militan Daish seperti di Syria, Iraq dan Afghanistan.

Setakat ini, seramai 250 rakyat Malaysia yang terlibat dalam militan Daish telah ditahan di dalam negara.