BERA: Kerajaan sentiasa memberi perhatian khusus kepada masyarakat India, dalam pelbagai aspek termasuk pendidikan dan ekonomi, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Misalnya, beliau berkata dalam Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt lepas, juga meliputi pelbagai inisiatif khusus kepada masyarakat India, seperti RM100 juta bagi pembangunan usahawan kaum India di bawah Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA).

"Dahulunya MITRA diletakkan di bawah Kementerian Perpaduan, namun kini dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, diletakkan di bawah Perdana Menteri sendiri. Ini menunjukkan betapa pentingnya pembangunan ekonomi kaum India di Malaysia.

"Selain itu, peruntukan RM25 juta diberikan bagi Program Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi," katanya ketika berucap pada Majlis Moh Ngeteh Bersama Masyarakat India Parlimen Bera di Dewan Kompleks UMNO Bahagian Bera di sini pada Ahad.

Menyentuh aspek pendidikan, Ismail Sabri berkata walaupun tidak dinyatakan secara khusus, peruntukan juga diberikan untuk pembangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil selain peruntukan tambahan RM5 juta kepada RM25 juta setahun kepada Universiti AIMST, iaitu universiti swasta dimiliki MIC dan berpusat di Sungai Petani, Kedah.

Khidmat Masyarakat | Komuniti India di Bera tidak pernah dipinggir