KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lapan lokaliti di lima negeri.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti itu membabitkan Negeri Sembilan, Kedah, Pahang, Sabah dan Kelantan.

Kawasan terlibat dalam PKPD berkuat kuasa 5 sehingga 18 Julai 2021 ialah Taman Desaria, Seremban, Negeri Sembilan; tiga lokaliti dalam daerah Kuala Muda, Kedah (Taman Bandar Baru Sungai Lalang, Taman Lembah Permai dan Kawasan Perindustrian Bakar Arang termasuk Taman Cahaya PKNK).

Selain itu, Taman Zifa, Bingkul, Beaufort dan Kampung Simpangan, Kota Marudu, Sabah; Kampung Bukit Tanah, Mukim Bukit Jawa, Pasir Puteh, Kelantan.

Sementara itu, PKPD Mukim Kuala Kuantan 2, Kuantan, Pahang bermula dari 4 sehingga 17 Julai 2021.

Katanya, lanjutan PKPD Taman Merbau Utama (kecuali Blok B dan C), Mukim Bukit Jawa, Selinsing, Pasir Puteh, Kelantan akan bermula pada 5 sehingga 18 Julai 2021.

Sementara itu, beliau berkata penamatan PKPD Kampung Nelayan, Batu 10, Sandakan, Sabah; Fasa 1 & Fasa 2, Taman Digot, Penampang, Sabah; dan Kampung Rancangan Silabukan Peringkat 4, Lahad Datu, Sabah berkuat kuasa 4 Julai 2021 (11.59 malam) seperti yang dijadualkan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menjelaskan, seramai 711 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Jumaat.

Daripada jumlah itu katanya, seramai 672 individu dikompaun manakala 39 lagi direman.

Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis (169), tidak memakai pelitup muka (121), tiada penjarakan fizikal (116), tidak mematuhi arahan kawalan pergerakan (61), membawa penumpang berlebihan (23) dan lain-lain kesalahan (221).

Sementara dalam Operasi BENTENG (Op BENTENG) pada Jumaat telah menangkap 24 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) serta merampas tiga buah kenderaan darat.

Katanya lagi, pada Jumaat, sebanyak 148 operasi disinfeksi dilakukan meliputi 64 zon merah, empat zon jingga dan sembilan zon kuning di seluruh negara.

Operasi disinfeksi itu melibatkan 898 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan 231 pihak berkuasa tempatan (PBT) serta 177 buah jentera JBPM.

Katanya lagi, seramai 1,127 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara pada Jumaat.

Secara kumulatifnya, sejak 24 Julai 2020, seramai 240,605 individu telah pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 76 hotel dan 12 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 9,263 individu telah dikuarantin dan 228,435 orang dibenarkan pulang manakala 2,907 lagi dibawa ke hospital.