KUALA LUMPUR: Kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lima lokaliti melibatkan Kuala Lumpur, Sabah dan Johor berkuat kuasa 23 Mei sehingga 5 Jun 2021.

Kawasan-kawasan tersebut ialah Kampung Pagar Sungai Imam, di Tawau, dua asrama pekerja Kilang Oceanic Fabric Mill Kilang Purnabina di Kluang serta Kampung Batu Muda Tambahan dan PPR Kampung Limau di Kuala Lumpur.

Selain itu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan turut mengumumkan pelanjutan PKPD  di tiga perkampungan di Mukim Bunut Susu, Pasir Mas, Kelantan.

Pelanjutan ketiga-tiga perkampungan terbabit di Kampung Paya Ular, Kampung Bechah Palas dan Kampung Tualang juga berkuat kuasa 23 Mei sehingga 5 Jun 2021.

"Dalam tempoh itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan 486 ujian saringan di Kampung Paya Ular dan 94 individu disahkan positif COVID-19 manakala 75 kes positif juga direkodkan di Kampung Bechah Palas hasil daripada keseluruhan 984 ujian saringan.

"Selain itu, KKM turut merekodkan 69 kes positif COVID-19 di Kampung Tualang selepas melakukan 307 ujian saringan ke atas penduduk di lokaliti tersebut.

"Sehingga kini, KKM mendapati masih berlaku penularan serta terdapat kes baharu direkodkan di ketiga-tiga lokaliti tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu katanya, seramai 550 lagi individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) pada Khamis.

Jelas Ismail Sabri, daripada jumlah tersebut seramai 532 individu dikompaun manakala 17 lagi direman.

"Antara kesalahan direkodkan ialah gagal merekod butiran diri/daftar masuk premis sebanyak 193 kes; tidak memakai pelitup muka (122); tidak patuh arahan kawalan pergerakan (72); tiada penjarakan fizikal (57); rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (4); mengadakan rumah terbuka (1) serta lain-lain (101)," katanya.

Bagi Operasi Benteng (Op Benteng) pula, Ismail Sabri berkata seramai 25 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah ditangkap semalam, selain dua buah kenderaan darat dirampas.

Tambah beliau, sebanyak 144 buah bot atau kapal turut dikesan di perairan negara melalui 10 aktiviti penglihatan.

Setakat semalam juga, sebanyak 69,617 pemeriksaan dijalankan oleh Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jelasnya, seramai 673 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan semuanya telah dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.