KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) diiktiraf sebagai Jenama Terbaik Tahun Ini bagi kategori Tenaga-Kuasa (Peringkat Kebangsaan) pada World Branding Awards 2026–2027 di London.
Menurut syarikat utiliti elektrik nasional itu menerusi satu hantaran di media sosial hari ini, pengiktirafan global tertinggi itu mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap syarikat berkenaan sepanjang 77 tahun menyediakan bekalan elektrik dan menyokong pembangunan negara.
Pengiktirafan itu diterima oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid, daripada Pengerusi World Branding Forum, Richard Rowles pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan TNB, Samsul Ariffin Zainuddin.
“Ia turut mengukuhkan kedudukan TNB sebagai jenama tempatan Malaysia yang terus berkembang dan mendapat pengiktirafan di peringkat global.
“Selaras dengan aspirasi peralihan tenaga Malaysia, TNB terus memperkukuh usaha ke arah masa depan tenaga yang lebih mampan menerusi pembangunan tenaga boleh baharu, pemodenan grid dan pelaburan tenaga hijau di peringkat antarabangsa,” jelas TNB dalam hantaran itu.
TNB turut menyifatkan pengiktirafan itu sebagai cerminan sokongan jutaan rakyat Malaysia.
“Lebih bermakna, pengiktirafan ini, yang turut melibatkan undian pengguna, mencerminkan sokongan jutaan rakyat Malaysia serta dedikasi kira-kira 35,000 kakitangan TNB.
“Terima kasih, Malaysia! Kepercayaan anda terus menjadi inspirasi buat kami untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan membina masa depan yang lebih cerah untuk semua,” ujar TNB.
Untuk rekod, TNB telah memenangi anugerah yang sama pada 2014, 2018, 2019, 2021 dan 2025.