Skip to main content

Politik

Pembangkang perlu ketepikan percaturan politik, utamakan reformasi – BERSIH

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kerjasama melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) wajar dimanfaatkan sebagai mekanisme untuk membina kesepakatan. - foto fail
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kerjasama melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) wajar dimanfaatkan sebagai mekanisme untuk membina kesepakatan. - foto fail

Ringkasan AI

  • BERSIH menggesa Ahli Parlimen pembangkang mengetepikan politik demi kerjasama rentas parti untuk merealisasikan agenda reformasi institusi negara sebelum pembubaran Parlimen.
  • Kerjasama melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) disaran bagi meluluskan rang undang-undang penting yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.
  • CSA antara lain merangkumi komitmen menyokong pentadbiran Perdana Menteri, kelulusan Belanjawan 2027 dan agenda reformasi institusi seperti had tempoh jawatan Perdana Menteri.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang digesa mengetepikan percaturan dan pertembungan politik, sebaliknya mengutamakan kerjasama rentas parti bagi memastikan agenda reformasi institusi negara dapat direalisasikan sebelum pembubaran Parlimen.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, kerjasama melalui Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) wajar dimanfaatkan sebagai mekanisme untuk membina kesepakatan, khususnya dalam meluluskan rang undang-undang yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

Menurut beliau, keutamaan ketika ini seharusnya diberikan kepada pembaharuan institusi yang mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada negara, tanpa mengira parti politik yang menerajui kerajaan.

Advertisement

“Melihat ke hadapan, bagi BERSIH, kita buanglah pertembungan politik yang mungkin tidak memberi manfaat.

“Cuba fokus tentang rang undang-undang (RUU) ataupun agenda reformasi yang sebenarnya memberi manfaat bukan untuk hari ini, tapi untuk akan datang. Yang lebih sustainable,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Advertisement

Muhammad Faisal turut mengingatkan mengenai kegagalan usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan pada Mac lalu, apabila rang undang-undang berkenaan gagal memperoleh sokongan majoriti dua pertiga.

Menurut beliau, perkembangan itu memperlihatkan kepentingan membina persefahaman antara kerajaan dan pembangkang bagi mengelakkan agenda reformasi institusi terus berdepan kebuntuan politik.

"Selepas CSA ini kita hendak pastikan kerajaan bentangkan RUU pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, had tempoh jawatan Perdana Menteri, Akta Ombudsman, dan Akta Kebebasan Maklumat, perlu dibincangkan dengan lebih bebas,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan kerjasama melalui CSA tidak bermakna pembangkang perlu memberikan sokongan sepenuhnya kepada kerajaan atau mengorbankan tanggungjawab mereka sebagai semak dan imbang.

Untuk konteks, pada 29 Oktober lalu, Kerajaan MADANI memeterai CSA dengan 13 Ahli Parlimen, melibatkan enam wakil Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; serta enam Ahli Parlimen Bebas.  

Perjanjian itu antara lain merangkumi komitmen menyokong pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga tamat penggal Parlimen dan  kelulusan Belanjawan 2027, selain agenda reformasi institusi termasuk mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.  

Sebagai sebahagian daripada persetujuan itu, Ahli Parlimen terbabit turut diperuntukkan dana pembangunan kawasan pada kadar yang   wakil rakyat penyokong kerajaan. 

Must Watch Video

Advertisement