Skip to main content

Dunia

Kemenangan Demokrat buka ruang siasatan lebih agresif terhadap perang Iran – Penganalisis

Parti Demokrat dilaporkan media Amerika Syarikat menguasai kerusi majoriti dalam Dewan Perwakilan dan Senat berikutan pilihan raya separuh penggal yang berlangsung pada Rabu. - foto AP/Pablo Martinez Monsivais
Parti Demokrat dilaporkan media Amerika Syarikat menguasai kerusi majoriti dalam Dewan Perwakilan dan Senat berikutan pilihan raya separuh penggal yang berlangsung pada Rabu. - foto AP/Pablo Martinez Monsivais

Ringkasan AI

  • Kemenangan Parti Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal AS membolehkan mereka menguasai Dewan Perwakilan dan Senat.
  • Penguasaan ini memberi Demokrat kuasa lebih besar untuk mengawasi dan menyiasat dasar luar pentadbiran Presiden Donald Trump, khususnya berkaitan Iran.
  • Walaupun Demokrat menguasai Kongres, Presiden Trump masih memiliki kuasa veto dan bidang kuasa tertentu dalam menentukan dasar luar negara.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kemenangan Parti Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) membuka ruang kepada pengawasan dan siasatan lebih menyeluruh terhadap dasar luar pentadbiran Presiden Donald Trump, khususnya berkaitan perang Iran.

Timbalan Ketua Penyelidikan dan Penerbitan, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia, Wan Naim Wan Mansor berkata, penguasaan Demokrat dalam kedua-dua dewan Kongres, iaitu Dewan Perwakilan dan Senat, memberikan parti itu kuasa lebih besar untuk meneliti keputusan pentadbiran Trump.

Menurut beliau, antara implikasi penting kemenangan tersebut ialah keupayaan Demokrat menggunakan mekanisme perundangan dan pengawasan Kongres bagi menuntut penjelasan serta meningkatkan akauntabiliti pentadbiran AS.

Advertisement

“Demokrat mempunyai lebih kuasa untuk menjalankan siasatan. Jadi siasatan itu lebih teliti terhadap apa hasilnya yang keputusan dasar luar Trump di Iran terutamanya.

“Siasatan itu boleh dilakukan dengan lebih teliti dan penguasaan demokrat itu boleh, antara ini adalah boleh memanggil pegawai pentabiran,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.

Advertisement

Wan Naim menjelaskan, kuasa tersebut membolehkan Kongres memanggil pegawai pentadbiran untuk memberikan keterangan dan penjelasan berhubung keputusan dasar luar, termasuk tindakan ketenteraan AS terhadap Iran.

Langkah itu berpotensi meningkatkan tekanan politik terhadap Trump yang sebelum ini menikmati sokongan Republikan di kedua-dua dewan Kongres.

Bagaimanapun, beliau berpandangan perubahan penguasaan Kongres tidak semestinya menjejaskan kuasa eksekutif Presiden secara langsung, memandangkan Trump masih mempunyai kuasa veto serta bidang kuasa tertentu dalam menentukan dasar luar negara itu.

Kemenangan Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa menyaksikan parti berkenaan merampas penguasaan kedua-dua dewan Kongres daripada Republikan, sekali gus membuka lembaran baharu hubungan antara badan perundangan dan pentadbiran Trump bagi baki dua tahun penggal kedua beliau. 

Must Watch Video

Advertisement