LONDON: Kereta yang membawa keranda Ratu Elizabeth II kini dalam perjalanan menuju ke Edinburgh menggunakan jalan darat sebelum dibawa ke Istana Holyroodhouse.

Memetik laporan The Telegraph, keranda mendiang Ratu Elizabeth II yang yang ditempatkan di dewan Istana Balmoral, Scotland bertolak pada jam 10 pagi (5 petang waktu Malaysia ) dan dijangka tiba di Edinburgh sekitar jam empat petang waktu tempatan.

Perjalanan dijangka mengambil masa enam jam dan melalui beberapa jalan terpencil bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.

Jenazah Ratu Elizabeth dibawa ke Edinburgh

Persinggahan pertama perarakan akan berhenti seketika di Ballater untuk acara penghormatan terakhir yang dihadiri oleh wakil permaisuri di Aberdeenshire dan juga pegawai tertinggi.

Selepas Edinburgh, keranda Ratu Elizabeth II akan dibawa ke Windsor, untuk disemadikan bersebelahan dengan suaminya, Putera Philip, yang meninggal dunia pada tahun 2021 di usia 99 tahun.

Menurut portal itu lagi, keranda mendiang ratu diperbuat daripada kayu oak dan dilitupi bendera 'Royal Standard' Scotland dengan kalungan bunga diletak di atasnya.

Ratu Elizabeth II menghembuskan nafas terakhir di Istana Balmoral, Khamis lalu.

Britain kini sedang dalam tempoh berkabung sehingga proses Pengebumian Negara berlangsung pada 19 September di Westminster Abbey.