SEREMBAN: Seorang kerani di Gemas, dekat sini berputih mata apabila kerugian hampir RM10,000 gara-gara ditipu dalam urusan jual beli telefon bimbit jenama iPhone 12 menerusi media sosial pada 20 Mac lepas.

Ketua Polis Daerah Jempol, Supt Hoo Chang Hook berkata, wanita berusia 24 tahun itu tertarik untuk membeli telefon bimbit berkenaan yang diiklankan menerusi Instagram ketika berada di rumahnya di Felda Palong 7, kira-kira pukul 9 malam.

"Mangsa berurusan dengan seorang individu menerusi WhatsApp dan diminta melakukan pembayaran barangan jika berminat bagi pengesahan pembelian tersebut melalui pautan diberikan.

"Percaya dengan perkara itu, dia kemudiannya menekan pautan tersebut dan membuat pembayaran secara dalam talian sebanyak RM1,300 kepada satu akaun individu pada keesokannya," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hoo berkata, mangsa membuat penyemakan baki akaunnya di sebuah bank di Bahau pada 31 Mac lepas dan mendapati baki akaun telah berkurangan sebanyak RM9,500, yang didakwa dipindahkan ke sebuah akaun bank tempatan milik seorang individu sebanyak empat kali tanpa pengetahuannya.

Beliau berkata, mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis dua hari lepas (1 April) di Balai Polis Bahau dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - BERNAMA