SANDAKAN: Lori muatan baja terbabas lalu menghempap sebuah kereta punca dua beranak dilaporkan maut dan lima lagi cedera dalam kemalangan di Batu 25 Jalan Labuk, di sini semalam.

Dalam kejadian itu, lelaki berusia 36 tahun yang juga pemandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback bersama anaknya berusia 12 tahun maut.

Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu sebuah lori muatan baja bersama sebuah lagi kereta yang dinaiki tujuh beranak.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati lori itu dipandu seorang lelaki berusia 36 tahun bersama penumpang iaitu isterinya berusia 38 tahun dan dua anak lelaki masing-masing berusia satu dan lima tahun dari arah Sandakan ke arah Beluran.

"Sementara itu, kereta dipandu mangsa bersama enam penumpangnya iaitu isteri dan anak-anaknya juga bergerak dari arah sama

"Sebaik tiba di lokasi lori tersebut hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik dan menghempap kereta yang berada di hadapannya yang dalam keadaan berhenti untuk memasuki simpang di kanan jalan," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambahnya, akibat kejadian itu, pemandu kereta dan anaknya meninggal dunia di lokasi kejadian dan lima lagi yang berada dalam kenderaan tersebut turut mengalami kecederaan.

"Pemandu lori dan semua penumpangnya mengalami kecederaan ringan.

"Kes disiasat bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan dua maut manakala lima lagi parah selepas kenderaan yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori 10 tan dalam kejadian di Batu 25 Jalan Sandakan pada Sabtu. - Sinar Harian