GEORGE TOWN:Selepas rumah yang didiami terbakar, seorang pengawal keselamatan, S Ganesh tiada pilihan lain selain daripada membawa isteri dan tiga orang anaknya termasuk bayi berusia lapan bulan tinggal dalam kereta.

Selama lapan bulan, Ganesh menjadikan kereta sebagai tempat berlindung dari panas dan hujan.

Bukan sekadar menjadikan kereta sebagai ‘rumah’ bahkan, malah lima beranak ini juga terpaksa mengikat perut dan mencatu makanan demi kelangsungan hidup.


 
Kisah sedih Ganesh, 34, dan  isteri serta tiga anak termasuk bayi berusia lapan bulan itu bermula  selepas kediaman keluarga itu di Lebuh Carnavon, di sini musnah dalam kebakaran April lalu menyebabkan mereka sekeluarga tinggal sehelai sepinggang.

Berikutan tiada tempat tinggal, mereka terpaksa tinggal di dalam kereta kerana gaji yang diterima Ganesh sebagai pengawal keselamatan tidak mampu membiayai sewa rumah.




Sejak itu, Ganesh bersama isteri, Parameswari yang ketika itu sedang sarat mengandung anak ketiga serta dua anak perempuan berusia lapan dan enam tahun menjadikan tandas awam untuk mendapatkan sumber air dan membersihkan diri.

Apa yang turut meruntun emosi ialah apabila isteri Ganesh terpaksa melalui proses berpantang di dalam kereta selepas melahirkan anak bongsu mereka.

Menurut Ganesh, sudah dua kali dia membuat permohonan bagi menyewa unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) namun masih tiada jawapan daripada kerajaan negeri.

“Saya sudah memohon rumah PPR, tapi tak dipanggil. Gaji saya kecil tak cukup untuk bayar sewa rumah, nak beli barang keperluan anak pun tak cukup,” kata Ganesh.

Ganesh berkata, setiap hari dia sekeluarga hanya mengalas perut dengan mi segera atau kuih berasaskan tepung yang dimasak menggunakan dapur kecil.

#AWANIByte: Kereta jadi rumah, air kopi ganti susu anak, mi segera lapik perut

Malah, bayinya yang menyusu badan pernah diberi minum air suam dan air kopi manakala dua anak hanya diberi biskut  ketika mereka terputus bekalan makanan.

Katanya, wang gaji sebanyak RM1,200 sebulan digunakan sebaiknya bagi membeli lampin pakai buang, mengisi minyak kenderaan dan membaiki kerosakan kereta.

Nasib malang keluarga itu mendapat perhatian daripada Persatuan Hindu Pulau Pinang yang mengunjungi Ganesh sekeluarga.

Presidennya, P Murugiah berkata, pihaknya kini berusaha memberi sumbangan makanan kepada kepada keluarga berkenaan sejak beberapa hari lalu.

Malah mereka juga akan membiayai kos penginapan di hotel bajet sehingga permohonan bagi menyewa rumah PPR diluluskan.