JELEBU: Seorang peniaga lelaki mengalami kecederaan melecur pada tahap 25 peratus selepas kuali yang dipenuhi minyak panas tertumpah mengenai anggota badannya dalam kejadian di Bazar Ramadan Kuala Klawang di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, kejadian pada jam 5.45 petang itu berlaku apabila sebuah kereta yang diletakkan berhadapan dengan sebuah tapak gerai di bazar itu telah menggelongsor dan melanggar sebuah gerai di situ.

"Akibat daripada pelanggaran tersebut telah menyebabkan kuali yang dipenuhi minyak panas telah tertumpah lalu, terkena seorang peniaga.

"Mangsa berusia 40-an mengalami kecederaan melecur pada tahap 25 peratus di bahagian belakang badan, paha dan betis kaki sebelah kiri," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihak polis masih menyiasat di mana ketika kejadian terdapat dua kanak-kanak berada dalam kenderaan tersebut tanpa pengawasan ibu bapa.

"Kes disiasat di bawah Peraturan 14(1)(A) LN 166/59 iaitu tiada mematikan enjin semasa meninggalkan kenderaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian ini diminta untuk tampil di balai polis berhampiran bagi membantu siasatan atau boleh menghubungi terus Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu Sarjan Azani Jusoh di talian 016-9752980," katanya. - Sinar Harian