BANGI: Lima sahabat nyaris maut selepas kenderaan dinaiki terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan dalam kejadian di Kilometer 302 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi dan Kebombaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kejadian pada jam 6.04 pagi.

Beliau berkata, kenderaan terbabit dipercayai dari Port Dickson sebelum terbabas di lokasi kejadian dan merempuh pembahagi di tengah lebuh raya berkenaan.

"Seramai tujuh anggota bomba bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan kerja-kerja menyelamat.

"Kemalangan melibatkan kenderaan jenis Perodua Alza dinaiki lima individu terdiri dua wanita dan tiga lelaki berumur lingkungan 20-an," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Katanya, empat daripada lima mangsa cedera ringan manakala seorang lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Dua mangsa cedera dibawa ke Hospital Serdang menggunakan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Dua lagi mangsa pula diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Menurutnya, kes diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Sinar Harian