KUALA LUMPUR: Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan, kerja-kerja menggantikan dua injap kawalan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua telah bermula mengikut jadual, iaitu jam 6 pagi ini.

Kerja-kerja itu, kata PBAPP, termasuk projek kerja air dan penyelenggaraan pencegahan di 22 lokasi lain juga bermula mengikut jadual.

LRA Sungai Dua turut telah dihenti tugas mengikut jadual dan kerja-kerja berkaitan di lokasi-lokasi lain dimulakan.

PBAPP turut memaklumkan akan mengemas kini status kemajuan kerja-kerja air di LRA Sungai Dua untuk informasi tepat dan sahih daripada PBAPP.

Pengguna-pengguna air di negeri Pulau Pinang yang terjejas dengan gangguan bekalan air diminta terus mengikuti kemas kini menerusi saluran media sosial rasmi PBAPP.

Kira-kira 590,000 atau lebih 80 peratus penduduk Pulau Pinang akan berdepan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 6 pagi Selasa bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan di LRA Sungai Dua.

PBAPP memaklumkan sekurang-kurangnya 101 kawasan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) dan Seberang Perai Tengah (SPT) dijangka menerima bekalan air selepas 48 jam.

Manakala 157 kawasan membabitkan daerah SPT, Seberang Perai Selatan (SPS) dan Timur Laut serta Barat Daya di kawasan pulau akan mula menerima bekalan air selepas 72 jam.