KOTA TINGGI: Kerja pembersihan pascabanjir di daerah ini yang bermula Jumaat lepas kini telah mencapai 70 peratus setakat pagi tadi, kata Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) Datuk On Jabbar@Jaafar.

Beliau berkata pihaknya optimis kerja-kerja pembersihan pascabanjir berkenaan dapat diselesaikan mengikut tempoh yang dijadualkan pada Selasa ini.

"Setakat pagi tadi yang merupakan hari ketiga pascabanjir, kami telah mencapai kemajuan sebanyak 70 peratus dalam kerja-kerja pascabanjir di Kota Tinggi.

"Semua ini merupakan kerjasama daripada sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang bertungkus lumus membersihkan daerah ini yang terjejas teruk akibat banjir pada 7 Jan lepas," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas meninjau kerja pembersihan di Kampung Kelantan di sini hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Majlis Daerah Kota Tinggi yang melaksanakan kerja-kerja pengurusan pascabanjir dengan baik dan teratur.

Mengulas lanjut, On berkata setakat hari ini 756 individu telah mendaftar sebagai sukarelawan di Dewan Jubli Intan, di sini, dan menjangkakan angka berkenaan akan terus meningkat.

"Pada hari pertama pascabanjir, seramai 500 sukarelawan telah mendaftar dan kemudian meningkat kepada 650 keesokan harinya dan hari ini seramai 756 sukarelawan telah berdaftar," katanya.

On berkata kerja-kerja pascabanjir tertumpu kepada kawasan awam seperti sekolah, balai raya dan masjid selain melihat kepada permintaan orang ramai terutamanya warga emas dan orang kurang upaya dan komuniti yang memerlukan bantuan pembersihan.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan semua pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini akan ditutup pada Selasa jika cuaca baik berterusan sehingga esok.

"Insya-Allah dalam dua hari lagi jika cuaca baik semua mangsa banjir terlibat boleh pulang ke rumah masing-masing dan kita boleh tutup semua PPS di sini," katanya.

Setakat pagi ini, 255 mangsa masih ditempatkan di empat PPS di daerah ini.

-- BERNAMA